Program Jualan Rahmah AEON BiG dalam masa terdekat

Sheikh Farouk. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
Sheikh Farouk. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
A
A
A

AEON BiG Sdn Bhd (AEON BiG) akan melancarkan program Jualan Rahmah di semua cawangannya di seluruh negara dalam masa terdekat sebagai usaha menawarkan harga mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya bersedia untuk menawarkan jualan produk barangan dengan harga murah dan berpatutan untuk golongan B40 selain menyambut baik inisiatif berkenaan.

"Beberapa hari lepas kita melancarkan kempen 'Setiap Hari Segar, Setiap Hari Harga Rendah' bagi membantu meringankan beban kos sara hidup semakin meningkat.

"Selepas ini kami akan memperkenalkan satu lagi program Jualan Rahmah. Ia bukan sahaja untuk menyahut cabaran menawarkan harga murah untuk barang keperluan asas tetapi melibatkan 'food court' dan 'hypermarket' AEON BiG.

"Insya-ALLAH, kita akan lancarkan program tersebut pada bulan ini dan tarikh pelancaran itu akan diumumkan dalam masa terdekat ini," katanya kepada Sinar Harian selepas program AEON BiG Get Tu-gether Hi Tea di salah sebuah hotel di sini.

Selasa lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM5 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui Program Menu Rahmah.

Sheikh Farouk (tengah) bersama ahli pengurusan dan staf pada program AEON BiG Get Tu-gether Hi Tea. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN
Sheikh Farouk (tengah) bersama ahli pengurusan dan staf pada program AEON BiG Get Tu-gether Hi Tea. - FOTO SINAR HARIAN / RAFEQ REDZUAN

Terdahulu, seramai 300 tetamu terdiri daripada pembekal, rakan pemasaran, staf dan sebagainya hadir memeriahkan majlis minum petang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sheikh Farouk berkata, program tersebut bertujuan meraikan semua pihak termasuk pembekal, staf dan rakan strategik selain mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

"Kita mahu meraikan mereka dan sebagai tanda ucapan terima kasih dan apresiasi terhadap semua pihak yang banyak berjasa dalam membangunkan AEON BiG," jelasnya.