Potong peruntukan langkah tidak betul: MP Kota Belud

Isnaraissah
Isnaraissah
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan sepatutnya mengekalkan peruntukan sedia tanpa melakukan pemotongan terhadap peruntukan ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis yang tidak bersetuju dengan pemotongan peruntukan pembangunan itu berkata, peruntukan yang dipertanggungjawabkan kepada ahli Parlimen adalah untuk disalurkan kepada rakyat dan bukan untuk digunakan bagi tujuan peribadi.

"Ingin saya tegaskan bahawa saya menyokong penuh usaha kerajaan mengawal kewangan negara melalui perbelanjaan berhemah dan menyelesaikan isu governans, rasuah dan salah guna kuasa.

"Namun dalam mencapai matlamat ini, saya sama sekali tidak bersetuju 'peruntukan kebajikan rakyat' yang selama ini telah dijadikan platform untuk membela nasib rakyat dikorbankan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Ketua Wirawati parti Warisan (Warisan) itu lagi, peruntukan itu perlu mengambil kira saiz keluasan parlimen yang jauh lebih besar di Sabah dan Sarawak,

"Isu kedaifan dan kemiskinan rakyatnya, ditambah pembangunan kedua-dua wilayah ini yang jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Tanah Melayu, pemotongan peruntukan pembangunan ini bukanlah permulaan yang baik ketika kerajaan Perpaduan bertekad merapatkan jurang pembangunan dan ekonomi di antara wilayah di dalam Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan ini sepatutnya kerajaan mengekalkan peruntukan sedia ada malah sepatutnya ditambah bukannya dipotong atau dikurangkan sebaliknya ia disalurkan semata-mata untuk menyelesaikan segera kemaslahatan rakyat," katanya.

Beliau berkata, ia berbeza dengan bantuan semasa yang disediakan kerajaan dan menjelaskan bahawa peruntukan untuk ahli Parlimen itu juga untuk mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan.

"Sebab itulah, rakyat lebih cenderung memohon bantuan daripada ahli Parlimen melalui peruntukan khas yang lebih cepat dan dekat.

"Inilah realitinya. Justeru, saya mohon Perdana Menteri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dan mencadangkan agar diadakan perjumpaan dengan semua ahli Parlimen serta agensi yang terlibat disamping mengutamakan penambahbaikan tadbir urus, tata kelola dan integriti berbanding langkah pemotongan peruntukan," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Beliau dilaporkan berkata, pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.