15 lelaki tempuh detik cemas terperangkap dalam lif

Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam sebuah lif di bangunan Kelab Rakan Muda Bukit Kiara pada Jumaat.
Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam sebuah lif di bangunan Kelab Rakan Muda Bukit Kiara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15 individu menempuh detik mencemaskan apabila mereka terperangkap dalam sebuah lif di bangunan Kelab Rakan Muda Bukit Kiara dekat sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, kesemua mangsa terdiri daripada lelaki berumur 18 hingga 21 tahun itu berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 1, Yusarimi Idrus berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian menerusi talian Mers 999.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat lif rosak di aras G," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menjalankan kerja mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap dalam lif terbabit.

"Anggota bomba terlibat membuka pintu lif dengan menggunakan unit alat hidraulik sebelum mengeluarkan 15 mangsa yang terperangkap," katanya.