Mohd Hairi tawar diri calon Naib Ketua Pemuda UMNO

Mohd Hairi
Mohd Hairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, pada Jumaat menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2023 hingga selesai PRU16, kelak.

Menurut Mohd Hairi, dia mengambil keputusan untuk menawarkan diri setelah mendapat restu daripada keluarga, pucuk pimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat, baru-baru ini.

“Saya cuba tawarkan diri sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan akan datang dan rancangan saya itu juga direstui keluarga dan juga pucuk pimpinan.

“Insya-ALLAH, saya akan pastikan dan kembalikan kesinambungan Pemuda UMNO, terutamanya melibatkan sayap-sayap yang lantang bersuara demi kebajikan kepentingan rakyat,” katanya pada Jumaat.

Sebelum itu, Mohd Hairi telah mendedahkan mengenai perkara berkenaan menerusi satu hantaran pada aplikasi whatsApp.

Pada hantaran berkenaan, Mohd Hairi yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru turut memohon sokongan daripada sahabat-sahabat Pemuda UMNO di peringkat cawangan dan bahagian di seluruh negara.

“Bismillah, Jumaat penghulu segala hari, dengan penuh kesyukuran dan insaf, dengan rendah diri saya Mohd Hairi Mad Shah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor ingin menawarkan diri sebagai Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2023 sehingga selesai PRU16.

"Mohon sokongan sahabat-sahabat Pemuda UMNO di kesemua cawangan dan bahagian seluruh Malaysia," katanya menerusi aplikasi whatsApp berkenaan.

Sementara itu Mohd Hairi berkata, di peringkat permulaan ini, dia membuat keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO berbanding Ketua Pemuda UMNO.

Katanya, keputusan berkenaan (calon Naib Ketua Pemuda UMNO), dilihat lebih relevan berdasarkan statusnya ketika ini yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri selain menjawat jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri.

"Bukan saya menolak untuk (jawatan) Ketua Pemuda... tetapi saya lihat dan nilai diri saya sendiri, selaku Exco Kerajaan Negeri dan Ketua Pemuda Negeri, biarlah saya ambil pendekatan di peringkat permulaan ini di peringkat Naib Ketua Pemuda.

"Biarlah (saya) bertatih sebelum ke peringkat Ketua Pemuda, dan saya difahamkan ada saingan empat penjuru bagi calon Naib Ketua Pemuda ini, termasuk daripada seorang anak Datuk Seri Najib (Razak) yang berada di Kedah," katanya.