Penempatan haram: Kedutaan Indonesia perlu bawa pulang PATI

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Norman
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Norman
A
A
A

SHAH ALAM - Kedutaan Indonesia perlu membawa pulang warganegaranya yang berasal dari Pulau Flores yang dikenal pasti sedang menetap tanpa izin di Nilai Spring, Negeri Sembilan.

Peguam, Norman Fernandez berkata, kedutaan itu tidak seharusnya mempermudah urusan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk meneroka tanah dan menetap di negara ini sehingga dikesan dan ditangkap, seperti yang telah berlaku.

“Dalam masa sama, perlu dipersoalkan bagaimana pihak negeri dan pihak berkuasa (termasuk polis) langsung tidak mengetahui keberadaan penempatan tersebut.

“Diharapkan pihak negeri dan pihak berkuasa akan lebih peka dan mengelak mana-mana warga asing meneroka tanah dan membuka penempatan haram,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan menahan seramai 67 orang PATI dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seramai 67 orang berumur antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan.

Mengulas lanjut, Norman berkata, difahamkan seramai 80 hingga 100 keluarga boleh mendiami penempatan haram yang dikatakan mempunyai pelbagai kemudahan lain seperti kedai runcit dan sekolah itu.

“Mengikut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, pusat pembelajaran sementara telah bermula April lalu dan sebahagian operasinya disokong oleh kerajaan Indonesia yang menyediakan bantuan berupa silibus pelajaran persekolahan Indonesia.

“Lebih memeranjatkan ialah kenyataan, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono yang mengakui pihak kedutaan bukan sahaja mengeluarkan dokumen perjalanan melegalisasi mereka, malah telah memudahkannya dengan bantuan silibus pelajaran persekolahan Indonesia.

“Ia supaya anak-anak di penempatan tersebut dapat menyambung pelajaran apabila pulang ke Indonesia,” ujarnya.

Tegas beliau, sekiranya pihak imigresen tidak menjalankan operasi, besar kemungkinan penempatan tersebut boleh berkembang dan bertukar menjadi perkampungan setinggan bangsa Flores.

“Apatah lagi beberapa prasarana sudah pun dibangunkan (di sana),” katanya.