SPRM kenal pasti 90 individu terima 'umpan undi' di Terengganu

Laporan Sinar Harian 24 Januari lalu.
Laporan Sinar Harian 24 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengenal pasti 90 individu yang didakwa menerima wang daripada parti politik untuk mengundi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di Terengganu.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

"Siasatan sedang dijalankan dan kita sedang kenal pasti 90 individu yang dikatakan menerima wang untuk mengundi," katanya pada Khamis.

Sebelum ini satu video tular dikesan memaparkan orang ramai yang dipercayai sedang menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk menerima bayaran daripada sebuah parti politik bagi tujuan mengundi.

Difahamkan, lelaki dalam video yang memberikan wang tunai kepada pengundi itu juga telah dipanggil untuk disoal siasat.

Menurut sumber, SPRM sedang berusaha untuk memanggil seberapa ramai saksi bagi membantu siasatan selain berjaya mengenal pasti penerimanya berdasarkan dokumen yang dirampas semasa siasatan.

Ia termasuk dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka ingin mengutip wang berkenaan, selain perlu mengangkat sumpah.

Pada 24 Januari lalu, Azam memaklumkan, menerusi aduan dan bahan bukti berupa rakaman video yang berlaku di sebuah daerah di Terengganu, SPRM telah melakukan siasatan ekoran dakwaan pemberian wang tunai kepada pengundi sebagai 'umpan undi'.

Berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menjadi satu kesalahan untuk memberi sebarang bantuan kewangan sepanjang kempen pilihan raya kerana ia boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk rasuah.

Meskipun ada parti politik menyatakan bantuan kewangan yang diberikan kepada orang ramai adalah berupa sedekah, namun pemberian tersebut tetap satu unsur rasuah seperti ditakrifkan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.