Projek bawah RM50 juta belum dilaksanakan Sabah

Shahelmey menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika hadir Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Sabah, di Teluk Dumpil, di Putatan.
Shahelmey menyampaikan topi keledar kepada penunggang motosikal ketika hadir Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Sabah, di Teluk Dumpil, di Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta yang diberikan secara terus kepada Sabah belum dilaksanakan setakat ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara itu belum dilaksanakan kerana mekanisme untuk pelaksanaan sedang diselaraskan antara pihak kerajaan negeri dan juga Persekutuan.

"Saya difahamkan satu bengkel akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan bahawa segala keperluan yang ada akan dapat dipatuhi.

"Selepas itu, barulah kita akan melaksanakan projek-projek RM50 juta yang akan diluluskan di negeri Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Sabah, di Teluk Dumpil, Jalan Putatan, pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah kerajaan negeri sudah menguruskan projek pembangunan bernilai di bawah RM50 juta selepas diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Januari lalu.

Anwar sebelum ini mengumumkan bahawa mana-mana projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta akan diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak berkuat kuasa serta-merta dan ia dipersetujui oleh Kementerian Kewangan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan berkaitan banjir, Shahelmey memaklumkan bahawa sebanyak 50 kawasan di seluruh negeri telah dibersihkan sistem perparitannya.

"Kejadian banjir kilat ini disebabkan oleh taburan hujan yang agak tinggi tetapi ada juga faktor yang lain menyebabkan terjadinya banjir kilat seperti parit tersumbat, perancangan atau pembinaan yang tidak berkolaborasi yang menyebabkan aliran atau saliran perparitan menjadi rumit.

"Kita juga secara berterusan untuk mendapat maklum balas (nilai kerosakan akibat banjir) daripada jurutera daerah di kawasan yang terlibat banjir dan jurutera kita memang sentiasa peka dalam tempoh bencana dan akan menyelesai dengan pantas," katanya.