Sikap pentingkan diri punca padang, trek balapan rosak

Kelihatan sebuah kenderaan diletakkan dalam Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang menjadi punca kepada kerosakan permukaan padang dan trek balapan.
Kelihatan sebuah kenderaan diletakkan dalam Stadium Mini Kuala Kubu Bharu yang menjadi punca kepada kerosakan permukaan padang dan trek balapan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kecewa dengan sikap segelintir pengguna yang meletakkan kenderaan di dalam kawasan Stadium Mini Kuala Kubu Bharu hingga merosakkan permukaan padang dan trek balapan.

MPHS dalam kenyataannya memaklumkan, sikap pentingkan diri itu hanya menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi kerja baik pulih.

"Tindakan ini menyusahkan pengguna lain yang ingin menggunakan kemudahan ini untuk tujuan riadah dan pelbagai aktiviti lain," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Kenyataan itu memberitahu, MPHS telah menyediakan tempat parkir kereta berhampiran stadium mini untuk memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan masing-masing.

"MPHS tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak didapati merosakkan kemudahan awam milik MPHS yang sepatutnya dapat digunakan bersama oleh warga Hulu Selangor," kata kenyataan itu.