Tak tahu akaun Bersatu dibekukan - Mohd Nazree

Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Nazree)
Laporan Sinar Harian pada Rabu. (Gambar kecil: Mohd Nazree)
A
A
A

SEREMBAN - Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus memaklumkan tidak menerima sebarang makluman rasmi berhubung dakwaan akaun parti itu dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah katanya, buat masa ini tiada mana-mana pemimpin Bersatu di Negeri Sembilan dipanggil untuk membantu siasatan.

"Saya tiada maklumat rasmi daripada ibu pejabat berkenaan perkara ini. Cuma yang saya boleh sahkan akaun Bersatu Negeri Sembilan belum ada apa-apa tindakan pembekuan dan sebagainya.

"Kita pun tidak dipanggil untuk disiasat dalam apa-apa perkara. Saya nak komen lanjut pun, saya tak terima sebarang makluman," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak isu itu timbul bagi membina persepsi politik yang tidak baik terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Ujarnya, beliau yakin dengan akta dan data yang ada akan menunjukkan sebaliknya yang berlaku.

"Ia berbeza bila Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang mana dakwaan mengatakan berlaku penyelewengan itu nampak jelas apabila ada serbuan dilakukan di rumah Perdana Menteri UMNO sebelum itu.

"Setakat ini tiada serbuan di rumah pemimpin Bersatu atas dakwaan tertentu dan sebagainya. Saya ingat ia boleh jadi kayu pengukur untuk rakyat menilai," katanya.

Sebelum itu Sinar Harian melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik Bersatu.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman turut mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Dr Muhammad Faiz percaya pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.