Thaipusam: Polis jamin tahap keselamatan pengunjung

Mohd Shuhaily menunjukkan jalan yang akan ditutup bermula 4 hingga 6 Februari ini.
Mohd Shuhaily menunjukkan jalan yang akan ditutup bermula 4 hingga 6 Februari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 1.5 juta penganut agama Hindu dijangka membanjiri negeri ini bagi menyambut perayaan Thaipusam yang bermula pada 4 Februari ini.

Susulan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi jaminan tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang sambutan perayaan tersebut berlangsung.

Menurutnya, seramai 1,250 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin serta laluan lalu lintas berjalan lancar.

"Saya menasihatkan orang awam agar tidak membuat kacau ganggu atau jenayah pada sambutan ini kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar.

"Rancang perjalanan lebih awal dan ketahui laluan alternatif. Selain itu, jangan memakai barangan kemas berlebihan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Rabu..

Mohd Shuhaily berkata, polis bersama beberapa agensi lain antaranya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan operasi untuk mengesan sebarang penjualan arak haram di gerai-gerai minuman sepanjang perayaan Thaipusam berlangsung.

Tegasnya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan arahan sepanjang sambutan Thaipusam.

"Saya menasihatkan agar perayaan suci (bagi penganut Hindu) ini tidak dicemari dengan insiden-insiden tidak diingini yang berpunca daripada mabuk kerana mengambil minuman keras. Selain itu, perbuatan main mercun dan bunga api juda adalah dilarang, sekiranya ingkar, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

"Penggunaan drone juga dilarang kecuali mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa penerbangan awam. Patuhi arahan dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas dalam memastikan kelancaran aliran trafik," jelasnya.

Tambahnya, orang ramai juga diminta merancang perjalanan bagi mengelakkan tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana beberapa jalan akan ditutup bagi tujuan sambutan perayaan tersebut.

"Terdapat dua pedati yang akan keluar pada 4 Februari secara berasingan iaitu Pedati Emas pada jam 6.30 pagi manakala Pedati Perak sejam kemudian, pada hari sama. Lalu lintas akan menjadi sangat sesak kerana ada beberapa jalan yang akan ditutup sepenuhnya antaranya Jalan Kebun Bunga, Jalan Gotlieb, Jalan Air Terjun, Jalan Utama dan Jalan Macalister.

"Selain itu, beberapa jalan lagi akan ditutup secara berperingkat mengikut pergerakan pedati antaranya Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Batu Gantung, Jalan Anson, Jalan Transfer dan Jalan Masjid Kapitan Keling.

"Orang awam boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Masjid Negeri; Jalan Air Itam; pusat bandar; Lebuhraya Jelutong; Jalan Pengkalan Weld, Lebuh Light dan Lebuh Farquhar," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, beberapa tempat meletak kenderaan telah disediakan bagi memudahkan pengunjung antaranya di Lebuh Union, Lebuh Pantai, Lebuh King, Lebuh Penang, Lebuh Downing dan Lebuh Pantai.

"Selain tempat meletak kereta yang disediakan, terdapat juga pemilik tanah persendirian yang menjalankan parkir bagi kegunaan pengunjung. Bagaimanapun, mereka ini perlu mendapat permit daripada MBPP sebelum menjalankan perkhidmatan meletak kenderaan.

"Sebanyak 12 buah bas Rapid Penang (perjalanan dua hala) disediakan iaitu dari Terminal Swettenham Pier ke Terminal Bang Pengkalan daripada jam 2 petang hingga 1 pagi (4 Februari) dan daripada Pangkalan Raja Tun Uda ke Hospital Adventist daripada jam 5.30 pagi hingga 1 pagi (5 Februari)," katanya.