Perhilitan pasang dua perangkap harimau

Dua perangkap telah dipasang oleh Perhilitan Perak susulan penemuan jejak harimau belang di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor, Ipoh pada Rabu. Gambar kecil: Yusoff
Dua perangkap telah dipasang oleh Perhilitan Perak susulan penemuan jejak harimau belang di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor, Ipoh pada Rabu. Gambar kecil: Yusoff
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah memasang dua perangkap susulan penemuan jejak harimau belang di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, sepasukan anggota dari Unit Harimau Perhilitan Perak telah melakukan rondaan dan kawalan di lokasi kejadian tersebut.

Jelas beliau, pihaknya sedang berusaha menghalau harimau berkenaan masuk semula ke Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Kinta yang bersambung dengan HSK Korbu.

"Dalam masa yang sama, kami turut memasang dua perangkap bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya harimau itu masih berlegar di kawasan Chemor.

"Kita nasihatkan orang ramai khususnya penduduk setempat untuk tidak memasuki hutan apatah lagi bersendirian selain tidak melakukan provokasi sekiranya bertembung dengan haiwan liar tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Yusoff turut menasihati penduduk supaya tidak ke ladang bersendirian ketika awal pagi dan pulang sebelum suasana gelap.

Beliau juga meminta orang ramai memaklumkan segera kepada Perhilitan sekiranya melihat individu atau kumpulan yang meragukan seperti ingin memburu.

Selain itu, penduduk juga digalakkan memasang atau memakai bau-bauan seperti ubat nyamuk dan unggun api kecil ketika berkebun.

Beliau juga meminta pemilik haiwan ternakan seperti lembu dan kambing mengurung ternakan mereka di dalam kandang yang berpagar dengan sempurna.

Pada Selasa, Yusoff mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung kehadiran harimau di Tanah Hitam dan Kampung Ulu Kuang, Chemor baru-baru ini.

Aduan mengenai kejadian berkenaan di Tanah Hitam diterima pada 17 Januari manakala kejadian di Kampung Ulu Kuang pula diterima pada 26 Januari.