Banjir: Mersing pulih, tiga daerah masih terjejas

Penduduk Kampung Jamari, Mersing, Johor menaiki bot meredah sungai untuk menghantar bekalan makanan kepada sebahagian penduduk terkandas semula di kampung tersebut pada Ahad. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Jamari, Mersing, Johor menaiki bot meredah sungai untuk menghantar bekalan makanan kepada sebahagian penduduk terkandas semula di kampung tersebut pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Mersing menjadi daerah terbaharu di Johor yang pulih daripada banjir apabila kesemua pusat pemindahan banjir (PPS) di daerah berkenaan ditutup sepenuhnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, tiga PPS di daerah berkenaan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Labong, Dewan Orang Ramai Koa Labong (HSO) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chiao Ching ditutup jam 2 petang pada Rabu.

Malah laporan berkenaan turut menunjukkan trend penurunan mangsa banjir yang menyaksikan seramai 305 mangsa daripada 1,106 keluarga masih ditempatkan di 12 PPS di negeri ini.

“Selain itu, dua lagi PPS turut ditutup di Kota Tinggi melibatkan melibatkan SK Teluk Ramunia dan SK Gembut.

“Penutupan itu menjadikan hanya dua PPS yang masih dibuka di Kota Tinggi bagi menempatkan 97 mangsa banjir daripada 23 keluarga,” menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, setakat jam 2 petang, daerah Batu Pahat mencatatkan 919 mangsa daripada 255 di tujuh PPS, diikuti 97 mangsa daripada 23 keluarga di Kota Tinggi dan di Segamat pula mencatatkan 90 mangsa daripada 27 keluarga.

Selain itu, menurut laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Sungai Batu Pahat berada di paras bahaya apabila mencatatkan 18.71 meter, manakala paras air semasa di Sungai Muar, Segamat berapa di tahap amaran apabila mencatatkan 8.70 meter ketika ini.

Sementara itu, menurut laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Jalan Tanah Abang/Selekoh Pertama Tanah Abang di laluan J228 Mersing Seksyen 1.0 ditutup untuk semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 0.85 meter.

Menurut laporan berkenaan juga, Jalan Sungai Tiram–Ulu Tebrau di laluan J08 Seksyen 3.5 ditutup untuk semua kenderaan berikutan berlaku tanah runtuh (cerun runtuh).