Perancis lumpuh, ramai mogok bantah usia persaraan

Kira-kira 11,000 polis digerakkan di seluruh negara dengan 4,000 daripadanya ditempatkan di Paris di mana ratusan ribu pelampau berkumpul di jalanan. - Foto AP
Kira-kira 11,000 polis digerakkan di seluruh negara dengan 4,000 daripadanya ditempatkan di Paris di mana ratusan ribu pelampau berkumpul di jalanan. - Foto AP
A
A
A

PARIS - Seluruh Perancis lumpuh apabila mogok besar-besaran dan tunjuk perasaan diadakan di negara itu buat kali kedua dalam tempoh sebulan bagi membantah pembaharuan yang dirancang kerajaan untuk meningkatkan umur persaraan.

Kira-kira sejuta orang dilaporkan turun ke jalan raya di seluruh negara pada Selasa untuk tujuan itu.

Kerajaan Perancis dikatakan merancang untuk meningkatkan umur persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun dengan Perdana Menteri Perancis, Elisabeth Borne bertegas untuk tidak berunding mengenai langkah itu bersama kesatuan sekerja.

Pada Selasa, kira-kira 11,000 polis digerakkan di seluruh negara dengan 4,000 daripadanya ditempatkan di Paris di mana ratusan ribu pelampau berkumpul di jalanan.

Pada 19 Januari lalu, kira-kira 1.1 juta orang turun ke jalan dalam perhimpunan menentang cadangan rombakan sistem pencen pada 2030.

Berjuta-juta rakyat terpaksa mencari pengangkutan alternatif, bekerja dari rumah atau mengambil cuti untuk menjaga anak-anak masing-masing apabila mogok melumpuhkan pergerakan.

Golongan pekerja dalam sektor pengangkutan dan pendidikan antara paling ramai menyertai protes berkenaan.

Seorang profesor universiti, Martine Beugnet, memberitahu protes ini adalah lebih daripada isu pencen.

Katanya, ia dilihat lebih kepada apa yang dimahukan rakyat.

Semasa mogok berlangsung, kebanyakan perkhidmatan kereta api Metro dan pinggir bandar Paris dihadkan.

Syarikat kereta api, SNCF meramalkan, perjalanan antara bandar juga terganggu dengan hanya satu daripada tiga kereta api berkelajuan tinggi mungkin beroperasi. - Awani