Lima sekeluarga ditahan bersama syabu RM1.5 juta

Mohd Shuhaily (kanan) menunjukkan syabu yang dirampas dalam dua serbuan pada 28 dan 29 Januari lalu.
Mohd Shuhaily (kanan) menunjukkan syabu yang dirampas dalam dua serbuan pada 28 dan 29 Januari lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KNI] Lima sekeluarga antara tujuh lelaki tempatan ditahan dalam dua serbuan berasingan bersama 41.81 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.51 juta di sini antara 28 hingga 29 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun itu ditahan dalam operasi terancang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Menurutnya, serbuan pertama dibuat di sebuah rumah di Pokok Sena, di sini pada jam 8.45 malam, 28 Januari selepas memperoleh maklumat.

"Dalam serbuan itu, kita menahan lima lelaki berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun yang merupakan pakcik dan anak saudara.

"Kita merampas 11 bungkus plastik berwarna hijau bertulis Guanginwang Refined Chinese Tea dan dua paket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 11.45 kg bernilai RM412,112," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, dua daripada suspek bekerja sebagai mekanik dan pemandu lori manakala tiga lagi menganggur.

"Susulan serbuan pertama itu, kita menyerbu sebuah kiosk di Pusat Bandar Bertam dan menahan dua lagi suspek iaitu penganggur dan peniaga berusia 41 dan 46 tahun pada jam 8 pagi, 29 Januari lalu.

"Kita menjumpai 30 bungkus plastik juga bertulis Guanginwang Refined Chinese Tea mengandungi 30.4 kg syabu bernilai RM1.1 juta di dalam sebuah kereta Perodua Myvi.

"Kita turut menyita empat kenderaan iaitu Perodua Myvi, Toyota Alphard, Toyota Vios dan Ford Ranger bernilai RM470,000 serta wang tunai RM1,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM1.98 juta," katanya.

Mohd Shuhaily menambah, kesemua tangkapan dipercayai menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu.

"Kesemua dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran dan kita masih menyiasat cara bekalan ini dibawa masuk, sama ada menggunakan laluan darat atau laut.

"Dadah ini untuk pasaran tempatan dan mampu digunakan oleh 210,000 penagih sekiranya ia terlepas di pasaran," katanya.

Beliau menambah, ujian saringan air kencing mendapati, lima daripada mereka positif dadah.

"Lima daripada mereka mempunyai rekod lampau melibatkan dadah manakala dua lagi tiada rekod. Kesemua mereka direman enam hari bermula 29 Januari hingga 3 Februari," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952