Anak derhaka pukul bapa guna kayu dipenjara enam tahun

Yaumiheris (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Seksyen, di sini pada Selasa.
Yaumiheris (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Seksyen, di sini pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki yang tergamak memukul bapanya akhirnya menerima balasan selepas dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Yaumiheris Nordin, 42, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap bapa kandungnya, Nordin Dengker, 71, dengan memukul bahagian muka dan badan mangsa menggunakan sebatang kayu.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 7 malam di sebuah rumah di Jalan Paya Keladi, Kampung Bukit Darat di sini, pada 26 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan serius dan mangsa merupakan bapa kandungnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman diringankan dan dilaksanakan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 27 Januari lalu.

Mohd Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas tuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut bapanya dengan mengacukan parang.

Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara empat bulan dari tarikh ditangkap bagi kesalahan itu.