Bekas guru mengaku tidak bersalah cedera rakan

Nurul Hidayah (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada pada Selasa.
Nurul Hidayah (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas guru sekolah agama wanita tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru wanita lain hingga patah.

Nurul Hidayah Khairuddin,24, membuat pengakuan terbabit setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Nadirah Ahamd Ropie berusia 24 tahun.

Kejadian itu didakwa berlaku di dalam kelas Tahun Dua Sekolah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Taman Bukit Rambai di sini pada jam 2.40 petang, 28 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Insiden itu dipercayai berlaku kerana mangsa hilang sabar setelah mengetahui pengadu memfitnah dirinya kepada guru besar bahawa dia telah keluar berdua-duaan dengan seorang lelaki.

Kejadian itu turut disaksikan murid sekolah berkenaan apabila kedua-dua individu itu saling berbalas pukulan antara satu sama lain.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh selain tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Mohd Fahmy Mohd Sulaiman merayu jaminan RM3,000 diberikan kerana tertuduh telah berhenti kerja selain mempunyai adik beradik yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dan menetapkan tarikh 13 Mac depan sebagai sebutan semula kes.