Pegawai eksekutif kena tipu rugi RM2,700

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai eksekutif kerugian lebih RM2,700 selepas dipercayai ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman peribadi tidak wujud, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tertarik dengan iklan pinjaman di sebuah laman sosial sebelum mengambil keputusan menghubungi suspek yang dikenali sebagai Janet melalui Whatsapp.

Menurutnya, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM10,000.00 dengan kadar bayaran RM466 sebulan bagi tempoh 2 tahun dan perlu melakukan pembayaran guaman.

"Mangsa turut meminjam wang daripada rakannya yang telah memasukkan RM350 ke akaun Maybank atas nama Norasri Muhammad, Selasa lalu.

"Keesokan harinya, mangsa memasukkan RM859 ke akaun yang sama untuk tujuan insurans.

"Dan pada hari yang sama, mangsa juga memasukkan RM1,500 untuk pembukaan akaun bank," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas melakukan transaksi tersebut, mangsa dijanjikan oleh suspek bahawa wang pinjaman termasuk wang bayaran berjumlah RM1,500 akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa dalam masa 15 minit.

Menurutnya, mangsa gembira kerana telah menerima gambar slip pemindahan wang sebanyak RM11,500 melalui Whatsapp.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudiannya melakukan semakan ke akaunnya dan mendapati tiada duit sebanyak RM11,500 seperti yang dijanjikan oleh suspek.

"Apabila mangsa bertanyakan kepada pihak tersebut, suspek beritahu dia perlu membayar wang sebanyak RM2,300 untuk bayaran cukai LHDN untuk mendapatkan duit tersebut.

"Mangsa merasakan dirinya telah ditipu dan telah pun membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.