Banjir di Johor semakin pulih

Johor terus mencatatkan penurunan mangsa banjir apabila merekodkan 2,157 orang daripada 607 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS. - Foto Bernama.
Johor terus mencatatkan penurunan mangsa banjir apabila merekodkan 2,157 orang daripada 607 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS. - Foto Bernama.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Johor terus mencatatkan penurunan mangsa banjir apabila merekodkan 2,157 orang daripada 607 keluarga yang ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang Isnin.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, penurunan itu setelah 409 orang melibatkan 113 keluarga dari empat PSS di daerah terjejas banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Tiga PPS di Kluang yang menempatkan 422 penduduk daripada 117 keluarga ditutup antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang tadi.

"Ini melibatkan penduduk Kampung Sri Lukut, Kampung Tanah Runtuh dan Kampung Contoh yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang Batu 28, Dewan Pusat Banjir Jakoa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.

"Turut ditutup ialah PPS di Balai Raya Kampung Durian Chondong, Tangkak pada jam 12 tengah hari tadi yang menempatkan lima penduduk daripada sebuah keluarga, tengah hari tadi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, ketika ini hanya empat daerah masih terjejas banjir iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat manakala Kluang dan Tangkak pulih sepenuhnya pada Isnin.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, mangsa banjir di Kota Tinggi mencatatkan penurunan kepada 340 orang daripada 86 keluarga berbanding 422 orang membabitkan 105 keluarga pada Ahad.

Katanya, mangsa banjir di Segamat dan Mersing pula tidak mencatatkan perubahan dengan 92 orang daripada 28 keluarga di Segamat dan 830 orang melibatkan 243 keluarga di Mersing.

Namun ujar beliau, situasi berbeza di Batu Pahat apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 895 orang daripada 250 keluarga berbanding 786 penduduk membabitkan 224 keluarga.

Sementara itu, beliau memaklumkan, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia meletakkan dua daerah di negeri ini iaitu Mersing dan Kota Tinggi di bawah amaran hujan berterusan tahap waspada.