Peruntukan RM500,000 kurangkan masalah banjir 4 kampung

Mohd Noor Helmy (kiri) melihat longkang di Kampung Semabok Luar yang telah pecah dan perlu dinaik taraf segera.
Mohd Noor Helmy (kiri) melihat longkang di Kampung Semabok Luar yang telah pecah dan perlu dinaik taraf segera.
A
A
A

MELAKA - Peruntukan RM500,000 yang diluluskan kerajaan pusat akan mengurangkan masalah banjir di empat buah kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) itu akan membabitkan kerja-kerja membina dan menaik taraf sistem pengaliran di kampung berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, ia termasuk isu banjir yang sekian lama menghantui penduduk Kampung Padang Semabok yang mana kerja-kerja tersebut akan diselesaikan pada pertengahan Mac depan.

Katanya, disebabkan ketiadaan sistem pengaliran yang sistematik telah mengakibatkan lebih 80 rumah penduduk di kampung itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat sejak tahun 2018.

"Sebelum ini terdapat kawasan tadahan air semula jadi, namun setelah beberapa pembangunan dilakukan berdekatan kampung itu menyebabkan tadahan air tiada.

"Apabila ada projek-projek besar yang didirikan di tanah lapang dan tiada pengaliran yang baik menyebabkan banjir berlaku dan penduduk terpaksa mendapat impaknya," katanya ketika turun padang di Semabok di sini, pada Isnin.

Mohd Noor Helmy (kiri) ketika berbincang dengan kakitangan JKR bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Padang Semabok pada Isnin.
Mohd Noor Helmy (kiri) ketika berbincang dengan kakitangan JKR bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Padang Semabok pada Isnin.

Mohd Noor Helmy berkata, sekiranya masalah itu dapat diatasi secara berperingkat, ia mampu menyelesaikan juga masalah banjir di kawasan Air Leleh.

Jelasnya, situasi yang sama turut melanda kawasan Semabok Luar yang menjadi punca hampir 200 rumah terjejas dinaiki air kerana masalah sistem perparitan.

Katanya, ia bukan masalah baharu yang dilalui penduduk tetapi telah lebih dua wakil rakyat bertukar, baru sekarang ia diberikan perhatian.

Ujar beliau, dianggarkan sepanjang lebih satu kilometer longkang yang perlu dinaik taraf namun kerana kekangan peruntukan pihaknya akan membaiki longkang yang kritikal.

"Memandangkan bajet tidak mencukupi kita akan melakukan kerja-kerja baik pulih di longkang kritikal dan impak melibatkan banyak rumah.

"Sebelum Ramadan kita jangka siap, mungkin ia tidak dapat selesaikan secara keseluruhan masalah banjir, tapi kita jamin risiko banjir besar dapat dikurangkan dan cuba perbaiki sedikit demi sedikit," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!