PKR Kedah atur strategi hadapi PRN

Pertemuan antara MPN PKR Kedah di sebuah hotel di Sungai Petani Kedah pada Sabtu. - Foto MPN
Pertemuan antara MPN PKR Kedah di sebuah hotel di Sungai Petani Kedah pada Sabtu. - Foto MPN
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah kini bersiap sedia berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Nor Azrina Surip berkata, perancangan strategik, formasi dan strategi PRN juga telah disusun agar mampu bersedia sekiranya terpaksa berdepan sebarang halangan.

Menurutnya, jentera parti dengan sedaya upaya dan kesungguhan telah memberikan komitmen untuk menghadapi apa jua yang bakal berlaku.

"Beberapa sesi perkongsian dalam kalangan penyelidik terkait keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu termasuk dapatan kajian persepsi pengundi pelbagai kaum turut dicerakinkan dalam bentuk perancangan strategik bagi berdepan PRN pada bila-bila masa saja.

"Formasi PRN juga telah dibentuk sebagai langkah bersiap siaga," katanya semasa hadir ke satu pertemuan di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi MPN PKR Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.

Jelas Nor Azrina, parti juga telah menekankan bahawa tiada jalan mudah dalam perjuangan namun keyakinan dan kesabaran yang tinggi diharap mampu memacu lebih banyak kejayaan.

"Pembentukan Kerajaan Perpaduan dan konsep Madani menjadi kelebihan dalam asas pembinaan semula negara melalui individu, komuniti, institusi dan seluruh masyarakat amnya," katanya.

Enam negeri akan menghadapi PRN tahun ini iaitu Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kerana tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kesemua negeri itu akan terbubar antara Jun hingga Ogos ini.