Ringgit dibuka tinggi teruskan kenaikan tujuh hari berturut-turut

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi pagi Isnin meneruskan kenaikan bagi hari dagangan ketujuh berturut-turut menjelang mesyuarat Rizab Persekutan Amerika Syarikat (Fed) pada 31 Januari - 1 Februari, 2023.

Pada jam 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2345/2395 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2410/2475 pada Jumaat minggu lepas.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes memberitahu Bernama, pasaran menjangkakan penurunan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) daripada 50 kepada 25 mata asas dalam kadar dana Fed semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), yang dijangka dapat menyokong ringgit seterusnya pada minggu ini.

MIDF Research berkata, dolar AS terus lemah berbanding mata wang utama lain pada minggu lepas dengan Indeks Dolar AS turun 0.1 peratus minggu ke minggu kepada 101.93, paras penutup mingguan terendah dalam tempoh lapan bulan.

"Ringgit meningkat walaupun harga minyak jatuh, mengukuh sebanyak 1.0 peratus minggu ke minggu. Walaupun harga minyak mentah susut 1.1 peratus kepada US$86.66 setong, ringgit dan mata wang serantau terus melonjak pada minggu lepas disokong oleh asas pertumbuhan kukuh dan permintaan risiko,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali berbanding pound Britain apabila ia susut kepada 5.2495/2557 daripada 5.2453/2533 pada Jumaat minggu lepas.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2270/2311 daripada 3.2280/2332, naik berbanding euro kepada 4.6046/6100 daripada 4.6159/6230 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2551/2594 daripada 3.2658/2711 sebelumnya. - Bernama