3 maut, lebih 800 cedera gempa bumi di Iran

Kediaman penduduk di bandar Choi musnah selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda barat laut Iran. - Foto AFP
Kediaman penduduk di bandar Choi musnah selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda barat laut Iran. - Foto AFP
A
A
A

TEHRAN - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala lebih 800 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda barat laut Iran.

Kira-kira 60 mangsa yang mengalami kecederaan serius telah menjalani rawatan di hospital berdekatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil, menurut penyiar IRIB memetik pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Pusat gempa berada di bandar Choi di Wilayah Azerbaijan Barat, lapor media Iran pada malam Sabtu.

Gegaran itu turut menyebabkan kerosakan pada bangunan kediaman di bandar Choi dan di beberapa kawasan di wilayah dekat dengan sempadan Turki.

Menurut Pusat Penyelidikan Geo Potsdam, gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer pada sekitar 9.44 malam (1814 GMT) pada Sabtu dan sebanyak 12 gegaran susulan turut direkodkan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Lebih 70,000 keluarga terpaksa bermalam di luar rumah dalam keadaan cuaca sejuk. - Bernama