Malaysia tepis penguasaan China

A
A
A

BAGI sesiapa yang pernah membaca buku China’s Second Continent: How a Million Migrants Are Building a New Empire in Africa tulisan Howard French, bekas wartawan tersohor New York Times, mereka pasti tahu apakah sebenarnya berlaku di benua Afrika ketika ini.

China mula memasuki benua Afrika pada awal tahun 1960-an. French yang pernah bekerja di China dan Afrika dalam bukunya yang diterbitkan pada 20 Mei 2014 menjelaskan betapa China mula memikat dan menjadikan wang sebagai kuasa untuk menjajah benua berkenaan.

Dengan kuasa wang, China menjajah Mozambique, Angola, Sierra Leone, Nigeria, Ethiopia dan banyak negara lain di Afrika.

French – seorang profesor madya di Columbia University Graduate School of Journalism sejak 2008 menjelaskan China membawa satu budaya dan tenaga kerja ke benua Afrika termasuk jurutera, doktor, buruh kasar, petani, peniaga, tukang lobi dan juga pelacur.

Dalam buku tersebut, French yang mahir berbahasa Mandarin telah berkelana ke seluruh benua Afrika untuk mewawancara pekerja China.

Akhirnya, French mendapati pelaburan China telah meningkat kepada AS$170 bilion (RM703 bilion) pada 2013 berbanding cuma AS$10 bilion (RM41.36 bilion) pada 2000.

Angka tersebut menjadikan Afrika sebagai rakan perniagaan terbesar kepada China. Namun, ia juga bermakna Afrika telah dijajah sepenuhnya oleh China.

Dalam sebuah e-buku bertajuk China’s Congo Plan: What the Economic Superpower Sees in the World’s Poorest Nation, Jacob Kushner menjelaskan bahawa berpuluh bilion ditabur di Congo untuk membina pelbagai kemudahan di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya Congo, seperti negara-negara Afrika yang lain, tewas dan dijajah sepenuhnya oleh China.

Melangkah ke hadapan, penulis memerhatikan apa yang berlaku di Malaysia beberapa hari lalu. Projek kontroversi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan apabila Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai perjanjian dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC). Projek berkenaan disahkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khabarnya, projek ECRL berjaya dijimatkan sebanyak RM21.5 bilion apabila projek keseluruhan cuma bernilai RM44 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Sejurus selepas perjanjian tersebut, Forbes memuji Malaysia dan tindakan Dr Mahathir yang berani mengubah perjanjian asal dengan China.

Menurut Forbes, belum ada mana-mana negara yang sudah berjanji dengan China, berani untuk mengajak `Naga Merah’ itu untuk kembali ke meja rundingan. Apatah lagi kalau tujuan perundingan itu untuk mengurangkan kos keseluruhan.

Forbes juga mengingatkan apa yang telah terjadi kepada Sri Lanka. Negara kecil di Asia Selatan itu kini ditelan 'hidup-hidup’ oleh 'Naga Merah’ dan kini dijajah oleh China sepenuhnya.

Penulis menulis tentang isu ini kerana mengajar di Universiti Selangor (Unisel) yang terletak di sebuah kawasan bernama Bestari Jaya yang dahulunya dikenali sebagai Batang Berjuntai.

Batang Berjuntai atau Berjuntai Tin adalah sebuah 'syurga’ kepada British kerana ia mempunyai simpanan bijih timah, antara yang terbesar di dunia. Hasil bumi Malaysia diangkut dengan banyaknya dari rel kereta api di Sungai Darah menuju ke Port Swettenham (ditukar nama kepada Pelabuhan Klang pada Julai 1972).

Isu tetap sama iaitu hasil bumi diambil oleh penjajah. Begitu jugalah apa yang berlaku di Congo. Lombong emas di Congo kini dimiliki sepenuhnya oleh China. Jelas sekali China tahu apa yang ALLAH sebut dalam al-Quran. Dalam Surah Al-An’aam [6.142] ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan di antara binatang-binatang ternak itu ada yang dijadikan untuk pengangkutan dan ada untuk disembelih. Makanlah daripada rezeki yang telah diberikan ALLAH kepada mu, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu.”

China tahu bahawa penguasaan dalam teknologi pengangkutan akan menjadikan negara tersebut sebagai kuasa 'Nombor Satu’ di dunia. Secara harfiahnya kini, China telah menguasai banyak pelabuhan, lapangan terbang dan laluan kereta api di seluruh dunia.

Malaysia bernasib baik kerana berjaya mengubah perjanjian asal yang jelas menjerut dan bakal menjerumuskan negara ke lubang penjajahan secara harus sebagaimana yang dialami oleh Kerajaan Sri Lanka.

Dalam Surah Al-A’raaf [7:95-96] ALLAH menjelaskan: “Kami ganti kesusahan itu dengan kesenangan hingga keturunan dan harta mereka bertambah banyak, dan mereka berkata: “Sesungguhnya nenek moyang kami pun telah merasa penderitaan dan kesenangan; maka Kami timpakan seksaan atas mereka dengan sekonyong-konyong sedang mereka tidak menyedarinya. Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.”

Penulis berasa bangga dan bersyukur kerana keberanian Dr Mahathir telah memastikan Malaysia tetap aman dan makmur. Namun pada masa yang sama, penulis berharap kehadiran CCCC akan memastikan jurutera di Malaysia mampu untuk belajar sesuatu daripada China.

China ketika ini diperakui sebagai sebuah kuasa besar yang lebih maju dalam bidang teknologi daripada negara lain sama ada dalam bidang kejuruteraan mahu komunikasi.

China kini telah jauh berada di hadapan sehingga menimbulkan rasa gerun kepada kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat dan Britain.

Justeru, CCCC mesti menurunkan ilmu kepakaran kepada jurutera tempatan untuk menguasai bidang kejuruteraan pengangkutan kereta api.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor