Bersatu Selangor terbuka terima Noh

Noh - Foto Bernama
Noh - Foto Bernama
A
A
A

TANJONG KARANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor bersikap terbuka dan bersedia menerima bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan beberapa lagi ahli parti itu yang dipecat dan digantung keahlian bagi memperkuatkan lagi jentera Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, kemasukan Noh yang mempunyai pengalaman politik luas mampu membantu jentera PN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Menurutnya, Bersatu sentiasa berlapang dada demi penyatuan Melayu atas dasar perjuangan dan wadah sama dalam membela hak kaum itu di samping tidak menzalimi kaum lain.

"Saya percaya mereka yang kecewa dengan UMNO akan memilih Bersatu dan kita mengalukan-alukan mereka ini untuk meneruskan perjuangan bersama Bersatu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bersatu Parlimen Tanjong Karang di sini pada Ahad.

Zulkafperi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sekiranya Noh memilih Bersatu, beliau yakin lebih ramai lagi pengikut pemimpin itu dan anak muda terutama di Parlimen itu menyertai PN.

Zulkafperi
Zulkafperi

"Saya akui menerima kiriman WhatsApp daripada ahli UMNO Tanjong Karang untuk menyertai Bersatu selepas kecewa dengan keputusan kepimpinan UMNO.

"Gelombang ini bukan sahaja di Tanjong Karang tetapi berlaku di seluruh Selangor dan ini meyakinkan kita untuk berdepan PRN tidak lama lagi sekali gus menawan negeri ini daripada PH (Pakatan Harapan)," kata beliau.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Pas Selangor secara terbuka menerima Noh menyertai parti itu dan bersama-sama membantu PN bagi menghadapi PRN yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, meskipun tiada pelawaan secara rasmi daripada Pas setakat ini, namun beliau yakin Noh mampu membantu PN untuk menawan negeri ini.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan pemecatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Noh manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama tiga yang lain pula digantung keahlian selama enam tahun.

Pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang itu dilakukan atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.