‘Kami tawarkan bahtera penyelamat’ – Pemuda Pas

Hantaran Ahmad Fadhli di Facebooknya pada Sabtu.
Hantaran Ahmad Fadhli di Facebooknya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM – Selepas beberapa pemimpin UMNO dipecat dan digantung keahlian selama enam tahun pada Jumaat, Pemuda Pas dengan nada berkias menjemput mereka untuk menjadi keluarga.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya menawarkan bahtera penyelamat kepada mereka.

“Walaupun bahtera itu besar, jika jelas ia akan tenggelam, selamatkanlah diri dan orang tersayang. Kami tawarkan bahtera penyelamat.

“Datanglah menjadi keluarga,” katanya yang turut memuat naik sebuah gambar bahtera yang hampir tenggelam pada Sabtu.

Dipercayai hantaran itu merujuk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Selain itu, turut mengalami nasib sama adalah ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.