Isu pemecatan, penggantungan ahli UMNO makin panas

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

NAMPAKNYA isu pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpin-pemimpin UMNO semakin panas apabila segelintir pihak mempertikaikan keputusan berkenaan.

Malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri turut tampil menyatakan pendirian bahawa beliau tidak bersetuju dengan pemecatan dan penggantungan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau membantah keputusan berkenaan atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan prinsip keadilan asasi seperti hak membela diri.

"Dalam isu ini tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui tuduhan terhadap mereka.

"Selain itu, tiada ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab tersebut," katanya menerusi hantaran di Instagram beliau pada Sabtu.

Suara-suara tidak berpuas hati ahli akar umbi tentang keputusan itu juga banyak diluahkan di media sosial dengan segelintir mereka menyindir pimpinan parti itu yang dianggap bersikap seperti 'kuku besi'.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

UMNO turut menggantung selama enam tahun keahlian Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Ekoran timbulnya pertikaian dalam isu berkenaan, seharusnya keputusan yang dibuat perlu diteliti semula supaya proses pemecatan dan penggantungan benar-benar mengikut perundangan yang ditetapkan.

Ia untuk menjaga nama baik UMNO sendiri dan bagi memastikan parti itu kekal dihormati oleh ahli dan penyokong mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!