Pengusaha tapak khemah lakukan pelbagai kesalahan - MPHS

Keratan laporan Sinar Harian pada Jumaat
Keratan laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

HULU SELANGOR - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan kompaun kepada pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah ini selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan.

MPHS dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil lawatan mendapati premis tersebut menjalankan operasi perniagaan untuk jangka masa panjang, tiada kelulusan kebenaran merancang (KM), pelan bangunan dan lesen perniagaan.

"Faktor cuaca buruk kebelakangan ini boleh meningkatkan risiko kejadian tidak diingini.

"Keadaan ini menjadi faktor utama pihak MPHS mengambil tindakan proaktif ke atas kawasan-kawasan rekreasi dan pelancongan di daerah Hulu Selangor," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut MPHS, tindakan tegas diambil MPHS itu dilakukan bagi mengambil iktibar daripada tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Batang Kali.

MPHS menjelaskan, satu operasi pemantauan dilaksanakan terhadap premis pelancongan yang beroperasi tanpa kebenaran pada Khamis dan Jumaat lalu.

Tegas MPHS, sebanyak 46 premis telah dilawati bagi tujuan mengumpul data bagi persediaan bengkel penyediaan panduan pengurusan perniagaan tapak perkhemahan negeri Selangor yang akan berlangsung pada 29 hingga 31 Januari ini.

"Dalam operasi itu, sebanyak 25 kompaun telah dikeluarkan di atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

"Pengeluaran kompaun dibuat tertakluk kepada Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007," ujar kenyataan itu.

MPHS menjelaskan, kompaun tersebut telah dikeluarkan bagi memastikan pengusaha terlibat mengambil serius syarat-syarat pembangunan dan tampil ke MPHS untuk memberikan kerjasama.

"Bagaimanapun kompaun-kompaun tersebut boleh dikenakan bayaran maksimum RM1,000 sahaja," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, kira-kira 60 pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah ini kesal apabila MPHS mengambil tindakan saman tanpa notis sejak beberapa hari lalu.

Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan tindakan MPHS itu sedangkan isu berkaitan pelesenan hanya akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ahad ini.