Pengusaha tapak perkhemahan kesal disaman tanpa notis

Pengusaha tapak perkhemahan di Hulu Selangor meminta MPHS tidak mengambil tindakan saman tanpa notis sehingga sesi dialog awam diadakan Ahad ini.
Pengusaha tapak perkhemahan di Hulu Selangor meminta MPHS tidak mengambil tindakan saman tanpa notis sehingga sesi dialog awam diadakan Ahad ini.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kira-kira 60 pengusaha tapak perkhemahan sekitar daerah ini kesal apabila Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengambil tindakan saman tanpa notis sejak beberapa hari lalu.

Rata-rata mereka tidak berpuas hati dengan tindakan MPHS itu sedangkan isu berkaitan pelesenan hanya akan dibincangkan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ahad ini.

Seorang pengusaha tapak perkhemahan Hulu Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Mee berkata, tindakan saman tidak sepatutnya diambil tanpa perbincangan antara pengusaha dan MPHS.

"Kami kesal kerana belum ada perbincangan mengenai urusan pelesenan dibuat, tetapi tindakan saman sudah bermula," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan, MPHS kini agresif menjalankan pemeriksaan terhadap pengusaha tapak perkhemahan seluruh daerah Hulu Selangor selepas tragedi tanah runtuh mengorbankan 31 mangsa di Father's Organic Farm di Gohtong Jaya pada Disember tahun lalu.

Tindakan saman itu dilakukan mengikut Seksyen/Peruntukan Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran (tapak perkhemahan).

Sehubungan itu, Cik Mee merayu kepada MPHS bertimbang rasa dan memberi masa kepada pengusaha tapak perkhemahan meneliti keputusan yang akan dibuat sewaktu sesi dialog awam bersama Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han pada Ahad ini.

"Modal kami kecil dan majoriti daripada kami masih belum mendapat pulangan modal perniagaan.

"Ini sumber rezeki kami untuk menyara keluarga terutama dalam keadaan ekonomi sekarang, kami tidak mampu hendak bayar saman," jelasnya.

Tambah beliau, MPHS diharap memberi ruang dan masa mencukupi untuk mereka menyediakan dokumen yang diperlukan.

Katanya, buat masa ini MPHS sewajarnya menghentikan sementara tindakan saman terhadap mereka sehingga penyelesaian 'menang-menang' dicapai antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, seorang pengusaha tapak perkhemahan di Ulu Rening yang hanya mahu dikenali sebagai Adanan berkata, tindakan MPHS itu dianggap sesuatu yang mengejutkan kerana tidak menerima notis terlebih dahulu.

"Saya disaman RM1,000 dan paling saya kesal kerana tidak menerima apa-apa notis daripada MPHS," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada MPHS mengenai keluhan pengusaha tapak perkhemahan terbabit.