Negara Arab kecam serangan maut di Kedutaan Azerbaijan

Negara-negara Arab mengecam serangan bersenjata ke atas Kedutaan Azerbaijan di Tehran pada Jumaat yang mengorbankan nyawa ketua keselamatan pos diplomatik dan mencederakan dua yang lain. - Gambar hiasan
Negara-negara Arab mengecam serangan bersenjata ke atas Kedutaan Azerbaijan di Tehran pada Jumaat yang mengorbankan nyawa ketua keselamatan pos diplomatik dan mencederakan dua yang lain. - Gambar hiasan
A
A
A

ISTANBUL - Negara-negara Arab mengecam serangan bersenjata ke atas Kedutaan Azerbaijan di Tehran pada Jumaat yang mengorbankan nyawa ketua keselamatan pos diplomatik dan mencederakan dua yang lain, lapor Agensi Anadolu.

"Mesir bersolidariti dengan Azerbaijan dalam peristiwa tragis ini,” kata jurucakap Kementerian Luar Mesir, Ahmed Abu Zeid.

Serangan itu berlaku di Tehran ketika Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi mengadakan lawatan rasmi ke Azerbaijan untuk mengukuhkan hubungan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara negara yang menyampaikan takziah kepada Azerbaijan atas perbuatan jenayah itu.

"UAE mengecam sekeras- kerasnya perbuatan jenayah ini dan menolak semua bentuk keganasan yang menjejaskan keselamatan dan kestabilan serta bercanggah dengan nilai prinsip moral dan kemanusiaan," katanya.

Kementerian Luar Arab Saudi turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu.

Kementerian itu menegaskan Arab Saudi bersolidariti dengan Azerbaijan dan menuntut agar misi diplomatik dihormati dan menghukum pelakunya.

"Kami terkejut dan sedih dengan serangan kejam terhadap Kedutaan Azerbaijan di Tehran, di mana Ketua Keselamatan dibunuh,” kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Lior Haiat menerusi ciapan di Twitter.

Haiat mengucapkan takziah kepada Azerbaijan dan rakyatnya dan mendoakan agar semua yang cedera cepat sembuh.

Kementerian Luar Jordan turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Azerbaijan.

Seorang penyerang bersenjata dilaporkan menyerbu kedutaan dengan senjata automatik.

Ketua perkhidmatan keselamatan kedutaan terbunuh manakala dua pengawal lagi cedera.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan apabila lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan ke arah pos pengawal kedutaan di utara Tehran.

Pasukan keselamatan segera menahan penyerang itu, kata ketua polis Tehran Hossein Rahimi kepada pemberita. - Bernama