Curiga lori bertutup kanvas, bongkar seleweng diesel subsidi

Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan setelah mencurigai keadaan sebuah lori yang bertutup kanvas
sedang mengisi minyak diesel. Sebanyak 1,148 liter minyak disyaki diesel bersama tangki fiber segi empat, lori dan peralatan pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM31,468.20 telah disita. - Foto KPDN Perak
Anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan setelah mencurigai keadaan sebuah lori yang bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel. Sebanyak 1,148 liter minyak disyaki diesel bersama tangki fiber segi empat, lori dan peralatan pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM31,468.20 telah disita. - Foto KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Curiga dengan keadaan sebuah lori bertutup kanvas ketika mengisi minyak akhinya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dijalankan di sekitar stesen minyak di Ipoh.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, kegiatan itu dikesan menerusi rondaan pemantauan yang dijalankan anggota pada Jumaat.

Menurutnya, dalam pemeriksaan sekitar jam 8.20 pagi itu, sebuah lori dilihat sedang mengisi minyak diesel di sebuah stesen di Jalan Tun Abdul Razak di sini dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah tangki fiber segi empat yang disyaki berisi barang kawalan berjadual iaitu diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

"Tiada sebarang dokumen atau permit khas berkaitan barang kawalan ditemui semasa pemeriksaan.

"Siasatan kemudiannya mendapati lori itu telah membuat pembelian minyak diesel dengan had yang dibenarkan secara berulang kali di stesen tersebut dan menyalurkan kepada tangki fiber segiempat yang ditutup kanvas bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, KPDN Perak telah menyita sebanyak 1,148 liter minyak disyaki diesel bersama tangki fiber segi empat, lori dan peralatan pam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM31,468.20 manakala pemandu lori berusia 51 tahun itu juga telah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Tindakan kes juga telah diambil terhadap pemilik stesen minyak terbabit kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli membeli minyak dan memasukkan ke dalam selain daripada tangki kenderaan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974," katanya.

Untuk rekod kerajaan hanya membenarkan pembelian maksima 250 liter minyak diesel/petrol sehari melalui satu transaksi ke atas tangki asal lori.

Bagi syarikat berskala kecil, organisasi atau individu perlu memohon permit khas mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk melayakkan membeli petrol dan diesel daripada stesen minyak untuk kegunaan sendiri bagi pembelian melebihi 20 liter.

Pihak yang diberi kebenaran untuk membeli minyak petrol dan diesel melalui Permit Khas boleh menggunakan tong drum, plastik atau apa-apa bekas yang bersesuaian mengikut kuantiti harian yang diluluskan.