Mangsa banjir di Johor meningkat semula kepada 3,480

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli melawat mangsa banjir di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli melawat mangsa banjir di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan 3,480 orang di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 8 pagi Sabtu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir berkenaan melibatkan 960 keluarga dari enam daerah iaitu di Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Segamat dan Tangkak.

Beliau memberitahu, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 3,328 mangsa banjir daripada 922 keluarga pada jam malam Jumaat.

"Mangsa banjir paling ramai ketika ini adalah di Mersing melibatkan 1,818 orang daripada 519 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS diikuti Kluang menempatkan 735 orang daripada 194 keluarga di empat PPS.

"Kota Tinggi pula menjadi daerah ketiga paling ramai mangsa banjir iaitu 417 orang daripada 106 keluarga di lapan PPS manakala di Batu Pahat seramai 380 orang daripada 105 keluarga ditempatkan di empat PPS," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara di Segamat yang sebelum ini mencatatkan mangsa banjir paling ramai, kini hanya tinggal 115 orang daripada 33 keluarga di enam PPS dan di Tangkak yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir mempunyai 15 orang daripada tiga keluarga di satu PPS.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, Jalan Tanah Abang di Mersing ditutup untuk semua kenderaan kerana dinaiki air setinggi 0.50 meter.

Katanya, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dibuka untuk kenderaan berat sahaja kerana air naik setinggi 0.6 meter.

"Begitu juga Jalan Felda Medoi dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung yang hanya dibuka untuk kenderaan berat kerana air naik setinggi 0.96 dan 0.81 meter," ujar beliau.

Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai katanya, masih ditutup untuk semua kenderaan selepas tanah runtuh di melibatkan kawasan cerun sehingga 12 meter.