Berlonggok sampah bawah pokok, tiang elektrik

Antara lokasi longgokan sampah yang di bawah pemerhatian MPAJ.
Antara lokasi longgokan sampah yang di bawah pemerhatian MPAJ.
A
A
A

AMPANG - Sebelah tiang elektrik dan bawah pokok antara lokasi yang menjadi pilihan orang awam membuat longgokan sampah bagi membuang tayar terpakai, palet kayu, perabot, sisa domestik serta sampah kebun.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad berkata, MPAJ mengesan 13 tempat dijadikan longgokan sampah menerusi pemantauan dilaksanakan awal Januari lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai.

Menurutnya, kegiatan tersebut menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk serta persekitaran awam.

"Disebabkan itu, MPAJ melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta pihak kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan sampah untuk menangani isu sampah longgok ini.

"Bagi mengelakkan masalah di lokasi sama berulang, pemasangan pita kuning dan kain rentang ‘Dilarang Membuang Sampah’ telah dibuat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, MPAJ juga telah membuat edaran risalah berkenaan Tatacara Pembuangan Sampah kepada penduduk kawasan perumahan berhampiran.

"Tindakan membendung masalah seperti ini telah dijalankan di beberapa lokasi di kawasan DUN Teratai antaranya Jalan Bunga Tanjung 12, 14, 18 dan 19, Taman Muda, Jalan Teratai 2/7, 2/7D, dan 1/1, Taman Bukit Teratai serta Jalan Mega 8, Taman Mega Jaya.

"MPAJ akan terus memantau lokasi sampah longgok dan sampah haram menerusi intipan dari semasa ke semasa selari dengan usaha MPAJ ke arah menjadikan Ampang Jaya Bandar Berdaya Huni," katanya.

Tegasnya, warga Ampang Jaya perlu mematuhi tatacara pembuangan sampah yang betul seperti digariskan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007.

Jelasnya, undang-undang tersebut menyebut tiada seseorang pun dibenarkan membuang apa-apa sampah di mana-mana tempat awam atau mana-mana tempat yang tidak ditetapkan oleh Majlis sebagai tempat buang sampah.

"Penduduk dan pemilik premis perniagaan juga diingatkan supaya menyediakan tong sampah bertutup yang mencukupi dan hendaklah diselenggara dalam keadaan yang baik.

"Sekiranya pemilik kediaman atau premis perniagaan gagal berbuat demikian, kompaun sebanyak RM1,000 boleh dikenakan atas kesalahan di bawah UUK yang sama," katanya.

Untuk rekod, MPAJ telah melaksanakan sebanyak 109 kali kerja pembersihan sampah longgok selain menutup tujuh lokasi sampah haram di kawasan Ampang Jaya, tahun lepas.

MPAJ menyasarkan tiada lokasi longgokan sampah mahupun lokasi sampah haram di kawasan pentadbiran MPAJ menerusi slogan ‘Tiada Sampah Longgok, Tiada Sampah Tabur’ di bawah Kempen Hari-Hari Tiada Sampah yang telah dilaksanakan sejak November 2021.