Pembaharuan institusi: G25 gesa kerajaan keluar laporan IRC

Kenyataan akhbar oleh G25 pada Jumaat.
Kenyataan akhbar oleh G25 pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) menggesa kerajaan supaya mengeluarkan laporan dibuat Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) yang ditubuhkan pada tahun 2018.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, kumpulan tersebut berkata, langkah tersebut perlu dilakukan segera kerana laporan berkenaan yang dimulakan semasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah disiapkan sejak empat tahun lalu.

“Semakin hebat sokongan orang ramai, semakin mudah kerajaan untuk menghadapi golongan sinis yang percaya reformasi institusi adalah konspirasi Barat dan Yahudi untuk melemahkan kuasa Melayu dan Islam dalam mentadbir negara.

“Cara terbaik untuk menangani perkara negatif tersebut adalah dengan menerbitkan laporan IRC untuk orang ramai melihat sendiri cadangan tersebut,” kata kenyataan itu.

Sebagai antara pihak yang terlibat dalam jawatankuasa tersebut, G25 berkata, IRC telah mendengar pandangan pelbagai kumpulan masyarakat sivil berkenaan usaha pengukuhan sistem tadbir urus dan kedaulatan undang-undang.

Menurut kenyataan itu, semasa proses libat urus, kumpulan berkenaan menyentuh empat perkara iaitu berkaitan jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC); meningkatkan keyakinan ekonomi di Malaysia; pembiayaan politik; dan pentadbiran hal membabitkan agama Islam di Malaysia.

Antara individu terlibat ialah salah seorang ahli G25 yang juga bekas Timbalan Penggubal Parlimen, Datuk Seri Hishamudin Yunus yang membentangkan mengenai PSC dan ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez berkaitan pendanaan politik.

“Terdapat cadangan lain daripada kumpulan kami kerana Malaysia memerlukan pembaharuan dalam banyak aspek tadbir urus institusi untuk menjadikan negara ini sebuah negara demokrasi yang lebih baik tanpa skandal yang memalukan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Pada Rabu, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan menggesa agar laporan pada 2018 oleh IRC yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dapat dikeluarkan

Ambiga berkata jawatankuasa itu membuat banyak cadangan mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Hasutan, Sosma, salah laku polis, hukuman mati dan perkara lain.