600 kekosongan jawatan dalam perkhidmatan bomba

Mohammad Hamdan (kiri) menyampaikan sijil kursus 'International Life Saving' kepada anggota bomba, Nooresham Md Din pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba Bagi Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur dan JBPM Terengganu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
Mohammad Hamdan (kiri) menyampaikan sijil kursus 'International Life Saving' kepada anggota bomba, Nooresham Md Din pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba Bagi Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur dan JBPM Terengganu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Terdapat sekitar 600 kekosongan jawatan di dalam perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terutama bagi gred KB19.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kekosongan jawatan tersebut akan diisi secara berperingkat bagi menambah kekuatan 14,500 pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat di seluruh negara pada masa ini.

"Tahun lepas kita telah ambil lebih kurang 1,000 anggota baharu untuk mengisi kekosongan jawatan di balai-balai sedia ada dan pengisian jawatan di balai-balai baharu. Bagi mengisi kekosongan yang ada kini pula, pengambilan akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba Bagi Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, di sini pada Jumaat.

Mohammad Hamdan berkata, pada 1 Februari ini, Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur akan menerima kira-kira 130 pelatih baharu bagi menjalani latihan dan kursus Sijil Sains Kebombaan sekali gus diharap dapat membantu mengisi kekosongan gred KB19 sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata, projek pembangunan fasiliti latihan di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur yang antara lain merangkumi pembinaan Kompleks Latihan Penyelamatan di Air dan latihan penyelamatan di lebuh raya dijangka siap pada tahun depan.

"Projek pembangunan fasiliti latihan ini telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan Kedua dengan sebanyak RM46 juta telah diperuntukkan. Bila siap, ia akan menjadi satu daripada pusat melatih penyelamat yang menjalankan tugas untuk mencari dan menyelamat di situasi yang melibatkan air deras, banjir dan sebagainya,” katanya. - Bernama