JKM dibenar kemuka keterangan lanjut rayuan Rumah Bonda

Pengasas Rumah, Bonda Siti Bainun Ahd Razali - Foto Bernama
Pengasas Rumah, Bonda Siti Bainun Ahd Razali - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat membenarkan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan bagi mengemukakan keterangan lanjut untuk dimasukkan dalam rayuan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur, yang dikenali sebagai Rumah Bonda.

Rayuan Rumah Bonda itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 November 2021 yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JKM menutup rumah perlindungan itu berikutan dakwaan penderaan ke atas seorang gadis sindrom Down berusia 13 tahun.

Dalam prosiding pada Jumaat yang dijalankan secara dalam talian, Peguam Kanan Persekutuan Nur Idayu Amir yang mewakili JKM memberitahu panel hakim bahawa JKM memohon agar keterangan lanjut dimasukkan sebagai sebahagian daripada rekod rayuan bagi rayuan Rumah Bonda.

Beliau berkata, ia penting terhadap rayuan itu kerana JKM akan mengemukakan bahawa rayuan Rumah Bonda bersifat akademik.

Nur Idayu berkata, keterangan tersebut merupakan perkembangan terkini berkaitan kes itu susulan perintah Mahkamah Majistret pada 15 Julai tahun lepas dengan syarat Rumah Bonda tidak akan beroperasi sebagai pusat jagaan sehingga/dan melainkan telah didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili Rumah Bonda, bagaimanapun berhujah bahawa mahkamah perlu menolak permohonan itu kerana relif yang dimohon dalam permohonan semakan kehakiman itu tidak terhad kepada perintah mandamus tetapi juga melibatkan perintah pengisytiharan lain.

Panel hakim yang terdiri daripada Datuk Azizah Nawawi, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk S. Nantha Balan, kemudiannya membenarkan permohonan JKM untuk mengemukakan keterangan tambahan.

Pusat perlindungan tersebut telah ditutup pada 12 Julai 2021 selepas menerima notis daripada JKM kerana tidak berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan.

Pada 13 Ogos 2021, Rumah Bonda memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan penutupan itu.

Pada 15 November 2021, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran itu selepas membenarkan bantahan oleh Jabatan Peguam Negara.

Pada 20 April 2022, Rumah Bonda menerima notis kompaun RM5,000 di bawah Seksyen 21A dan Seksyen 24 Akta Pusat Jagaan 1993. Selepas pertemuan dengan ahli jawatankuasa, rumah perlindungan itu bersetuju untuk membayar kompaun tersebut.

Rumah Bonda kemudiannya dibenarkan dibuka semula berikutan perintah Majistret yang membenarkan permohonan Pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali untuk membuka sita hartanya yang terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak Kuala Lumpur. Ini dengan syarat Rumah Bonda berikrar bahawa premis itu tidak akan digunakan sebagai pusat jagaan.

Dalam afidavitnya, Siti Bainun memohon agar premis itu dibuka untuk terus menjalankan kerja-kerja kebajikan serta pusat menyediakan makanan untuk aktiviti bank makanan.

Siti Bainun, 30, kini dibicarakan atas dua pertuduhan mengabaikan dan mendera gadis sindrom Down bernama Bella.

Asiah, semasa dihubungi berkata rayuan Rumah Bonda ditetapkan untuk pemgurusan kes pada 30 Januari. - Bernama