JPJ Melaka laksana program advokasi berterusan di sekolah

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff (tiga dari kanan) melihat pemeriksaan motosikal oleh salah seorang kadet JPJ sekolah ketika hadir pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff (tiga dari kanan) melihat pemeriksaan motosikal oleh salah seorang kadet JPJ sekolah ketika hadir pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh, di sini pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka akan melaksanakan program Advokasi Keselamatan Jalan Raya secara berterusan di sekolah di negeri ini bagi meningkatkan kesedaran pelajar, ibu dan bapa mengenai kepentingan mematuhi peraturan ditetapkan.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata ia berikutan hasil pemeriksaan di empat sekolah yang diadakan setakat ini, pihaknya mengesan pelbagai kesalahan membabitkan pelajar membawa kenderaan terutamanya motosikal ke sekolah.

"Daripada keseluruhan 363 motosikal yang diperiksa, 498 kesalahan telah dikenal pasti iaitu paling banyak dilakukan ialah 148 kes tiada cukai jalan dan insurans, tiada lesen memandu (135 kes) dan tidak memakai topi keledar (66 kes) dan tidak mempamerkan pelekat ‘P’ dan ‘L’ pada kenderaan (65 kes).

"Bagaimanapun tiada tindakan kompaun diambil terhadap pelajar dan JPJ hanya mengeluarkan notis peringatan akhir kepada ibu bapa dan pelajar agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya kepada pemberita selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, pihaknya mengingatkan supaya ibu bapa agar sentiasa mengambil berat mengenai peraturan keselamatan jalan dan tidak sesekali membenarkan anak di bawah umur menunggang motosikal ke sekolah.

Katanya, sepanjang tahun lalu, JPJ Melaka mengeluarkan 58 saman membabitkan kesalahan remaja membawa kenderaan di bawah umur.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang pelaksanaan penguatkuasaan Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 bermula 18 Jan hingga hari ini, sebanyak 2,951 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu 412 kes diambil tindakan selain 922 notis dikeluarkan. - Bernama