MAIS belum putus fatwa larang pemberian ubat PrEP

Abdul Aziz (kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2023 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Abdul Aziz (kiri) menandatangani plak perasmian pada Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2023 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) belum memutuskan sebarang fatwa mengenai larangan pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) kepada pasangan homoseksual bagi mencegah HIV di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara itu akan diperincikan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan perundangan sebelum mewartakan larangan berkenaan.

Jelas beliau, MAIS menolak pemberian ubat PrEP itu berikutan isu homoseksual secara nyata bercanggah dengan ajaran Islam.

"Secara prinsip asasnya, kita tidak boleh menggalakkan perbuatan tidak senonoh seperti homoseksual itu yang nyata di luar tabii manusia," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perutusan Pengerusi MAIS 2023 di Auditorium Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.

Abdul Aziz memberitahu, sebarang perkara berkaitan undang-undang atau warta larangan akan dikaji jawatankuasa fatwa negeri terlebih dahulu.

"Kita akan mengeluarkan kenyataan (warta larangan) setelah mendapat keputusan kelak," kata beliau.

Pada 12 Disember lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan akan melakukan projek rintis berkaitan penggunaan ubat PrEP di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.

Penggunaan ubat PrEP dikatakan berkemampuan mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi seks sebanyak kira-kira 90 peratus apabila diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.