KKM akan lakukan projek perintis penggunaan ubat PrEP

Dr Zaliha ketika memeriksa fasiliti yang terdapat di Pusat Jantung Hospital Serdang selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
Dr Zaliha ketika memeriksa fasiliti yang terdapat di Pusat Jantung Hospital Serdang selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan melakukan projek rintis berkenaan penggunaan ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) di beberapa hospital bagi menilai keberkesanan dan keselamatannya dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, projek rintis itu perlu sebelum ubat berkenaan diperakukan oleh kementeriannya untuk kegunaan awam.

"Penggunaannya telah dikaji. Kita telah bincang dengan pakar-pakar agama untuk tahu dari sudut hukum dan sebagainya dan kalau lihat penggunaannya, bukan hanya kepada golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) tetapi ada beberapa lagi golongan lain yang akan menggunakan untuk hasil lebih baik supaya kita dapat menyekat penularan HIV,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, pada Isnin.

Penggunaan ubat PrEP dikatakan berkemampuan mengurangkan risiko jangkitan HIV menerusi seks sebanyak kira-kira 90 peratus apabila diambil mengikut preskripsi yang ditetapkan.

Mengenai isu penyelewengan dana berkaitan pengurusan Covid-19 yang dianggarkan sebanyak RM530 bilion, Dr Zaliha berkata. di peringkat kementeriannya isu itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.

Pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan awal badan itu mendapati jumlah peruntukan yang terlibat berhubung isu penyelewengan dana berkaitan pengurusan Covid-19 dianggarkan sebanyak RM530 bilion.

SPRM memaklumkan daripada jumlah itu RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: