Stadium Shah Alam baharu bertaraf dunia

Tangkap layar lakaran grafik Stadium Shah Alam yang dikongsi MBI Selangor di Facebook pada Khamis.
Tangkap layar lakaran grafik Stadium Shah Alam yang dikongsi MBI Selangor di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Incorporated (MBI) berkongsi video di platform Facebook mengenai Pembaharuan Stadium Shah Alam yang disifatkan bertaraf dunia.

Menerusi perkongsian video berdurasi enam minit 22 saat itu, stadium itu mampu menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dalam sesuatu masa.

Video itu juga memaparkan stadium yang bakal dibanjiri penyokong pasukan Reds Giant itu dilengkapi papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan.

Selain itu, stadium itu dilengkapi kawalan kelembapan dalaman, 'ETFE ceramic coating' dan sistem penyejukan tempat duduk.

Stadium yang mempunyai ciri-ciri moden itu juga boleh menjadi 'venue' acara dalaman kerana padang terbabit mempunyai teknologi 'retractable pitch' iaitu bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

Selain itu, aspirasi stadium itu memberi kemudahan kepada aktiviti sukan dan rekreasi berasaskan komuniti, kelestarian dan keusahawanan.

Di samping itu, stadium itu terletak di kawasan strategik kerana ia menghubungkan laluan hab transit bas dan LRT Stadium Shah Alam serta menyediakan laluan pejalan kaki berbumbung.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM787 juta diperuntukkan untuk membina stadium baharu menggantikan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, di sini.

Ujar beliau, jumlah tersebut termasuk kos meninggikan platform stadium sebanyak 1.5 meter bagi mengelak kejadian banjir berulang dan menukar sistem pendawaian elektrik.