Jumlah mangsa banjir di Johor catat penurunan

Penduduk Kampung Tenang mencuci kediaman mereka selepas dinaiki air susulan banjir yang melanda beberapa tempat sekitar negeri Johor ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Tenang mencuci kediaman mereka selepas dinaiki air susulan banjir yang melanda beberapa tempat sekitar negeri Johor ketika tinjauan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan apabila merekodkan seramai 4,532 mangsa daripada 1,247 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah yang masih terjejas setakat jam 12 tengah hari, Jumaat.

Menurut sumber Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), penurunan jumlah mangsa banjir itu turut menyaksikan penutupan empat PPS setakat ini.

“Setakat 12 tengah hari Jumaat, jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan berbanding sebelum ini.

“Penurunan itu turut menyaksikan empat PPS turut ditutup dan menjadikan hanya 46 yang masih beroperasi berbanding 50 sebelum ini,” menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, satu PPS dibuka di Tangkak pada Jumaat iaitu di Balai Raya Kampung Durian Chondong bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Pengkalan Kota, di sini.

Sementara itu, laporan daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan lima sungai di empat daerah mencatatkan paras bahaya melibatkan Sungai Muar di Segamat, Sungai Batu Pahat (Segamat) Sungai Muar (Bukit Kepong), Sungai Endau (Mersing), dan Sungai Endau (Kluang) berada pada paras bahaya.

“Sungai Muar di Segamat berada pada aras 19.06 meter, Sungai Batu Pahat di Segamat (6.35 meter) Sungai Muar di Bukit Kepong (3.35 meter), Sungai Endau di Mersing (2.79 meter), dan Sungai Endau di Kluang, (15.36 meter).

“Setakat ini tiada amaran ribut petir dikeluarkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia),” menurut laporan berkenaan.