Jumlah mangsa banjir di Rompin menurun

Anggota polis daripada Balai Polis Bukit Ibam menjalankan penugasan rondaan pemantauan paras air serta lokasi-lokasi yang dinaiki air. - Foto ihsan Facebook Polis Daerah Rompin
Anggota polis daripada Balai Polis Bukit Ibam menjalankan penugasan rondaan pemantauan paras air serta lokasi-lokasi yang dinaiki air. - Foto ihsan Facebook Polis Daerah Rompin
A
A
A

KUANTAN - Bilangan mangsa banjir di daerah Rompin turun kepada 237 orang sehingga jam 8 pagi Jumaat berbanding 286 yang direkodkan pada petang Khamis.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 97 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu.

"Seramai 165 mangsa ditempatkan di PPS Kampung Setajam, Balairaya Bukit Lepas (40 mangsa) dan Balairaya Rekoh (122 mangsa).

"Daripada jumlah keseluruhan 237 mangsa, sembilan adalah bayi, dua orang kurang upaya dan 38 warga emas," katanya pada Jumaat.

Empat kawasan di daerah Rompin iaitu di Mukim Endau, Mukim Pontian, Mukim Rompin dan Mukim Keratong tersenarai sebagai lokasi 'hotspot' berisiko banjir kilat.

Berdasarkan info ramalan hujan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), kawasan itu berisiko banjir kilat sekiranya hujan lebat dan ribut petir signifikan berlaku.

Sementara itu, berdasarkan maklumat laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras sungai di Rompin melepasi paras amaran pada jam 7.30 pagi.

Stesen Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong kini di paras bahaya iaitu 24.79 meter dan dalam trend menurun manakala Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang pula pada paras waspada (30.72 meter).