Isu pakar HDB: KPKT sedia ambil tindakan perundangan

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat susulan membawa masuk pakar luar untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tuduhan sesetengah pihak berkepentingan politik bahawa perkongsian pakar perumahan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HBD), Singapura dibuat bagi mengisi kelemahan penjawat awam Malaysia adalah tidak benar dan berniat jahat.

Menurut beliau, tuduhan tersebut adalah satu tindakan provokasi yang berbaur hasutan.

“Penjawat awam di KPKT sentiasa memberikan khidmat yang terbaik dengan penghasilan pelbagai dasar seperti Dasar Perumahan Negara, Dasar Rumah Mampu Milik, dan program-program perumahan holistik untuk rakyat di negara ini.

“Malah penjawat awam telah berkhidmat dengan cemerlang sejak dari pentadbiran Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehinggalah ke hari ini. Sinergi penjawat awam dan anggota pentadbiran telah melahirkan pelbagai dasar, program dan pelan-pelan tindakan demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan membawa masuk pakar daripada agensi-agensi perumahan Singapura, HDB untuk menambah baik sektor perumahan di negara ini.

Menurut Kor Ming, kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi kepakaran dengan Malaysia.

Namun demikian, perkara tersebut telah mendapat respons negatif daripada beberapa pihak dan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dan mengkaji semula tindakan tersebut.

Jelas Kor Ming, niat untuk menjemput pakar dari negara luar termasuk Singapura dalam sesi seminar dan bengkel adalah bagi mendapatkan ilmu dan pengetahuan serta berkongsi kepakaran dalam bidang perumahan.

“Ia agar Malaysia dapat bergerak ke hadapan dan relevan dengan perkembangan semasa,” jelasnya.

Tambah beliau, berkongsi kepakaran dan bertukar amalan dalam sesuatu bidang bukan perkara baharu malah telah dimulakan sejak dahulu lagi dalam sistem kerajaan Malaysia bagi memberikan polisi, perancangan dan program terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, Malaysia melalui KPKT telah melaksanakan pelbagai kerjasama yang serupa dengan pelbagai negara lain selain Singapura iaitu Australia untuk meneliti kaedah atau mekanisme dan polisi berkaitan pemajuan perumahan swasta serta akta sewaan kediaman manakala India dalam pemajuan swasta bercampur.

“Hubungan bersama pihak HDB Singapura telah dimulakan sejak tahun 2018 lagi apabila mantan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama delegasi telah menyertai lawatan ke Singapura. Antara yang turut dilawat ialah HDB Singapura untuk memahami perkara yang terbaik dalam perancangan dan penyediaan perumahan terutamanya dalam perumahan sosial,” ujarnya.

Tambah Kor Ming, dasar perumahan sedia ada yang dibangunkan merupakan hasil kerjasama kementerian bersama pakar perumahan dalam negara seperti Khazanah Research Institute (KRI), Bank Negara Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), para akademik, dan penganalisis hartanah.

“Tidak salah untuk kita menambah baik dasar sedia ada berdasarkan perkara yang terbaik supaya polisi yang dirangka lebih komprehensif dan praktikal dilaksanakan mengikut acuan Malaysia,” katanya.

Selain itu, KPKT mengarahkan agar stesen berita yang telah menyebarkan sebarang maklumat palsu untuk memohon maaf dan membetulkan kenyataan serta memegang teguh etika kewartawanan.