Nekad hantar email kepada PM minta bantuan

Nasarudin (dua dari kanan) menerima sumbangan disampaikan Ahmad Farhan sambil diperhatikan Zabidi.
Nasarudin (dua dari kanan) menerima sumbangan disampaikan Ahmad Farhan sambil diperhatikan Zabidi.
A
A
A

SEREMBAN - Sudahlah diuji dengan isteri yang sedang sakit, kini kehilangan pekerjaan tetap pula menyebabkan Nasarudin Md Nasir, 51, nekad menghantar email kepada Pejabat Perdana Menteri untuk memohon bantuan tahun lalu.

Selepas beberapa bulan menanti dengan penuh harap, bapa kepada dua anak itu tidak menyangka emailnya mendapat maklum balas daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang kemudian datang menziarahi mereka di rumah sewa di sebuah kedai di Bandar Seremban Selatan, di sini pada Khamis.

Ahmad Farhan turut menyampaikan sumbangan RM10,000 melalui Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan bagi membantu pembiayaan kos pembedahan isterinya.

Menurut Nasarudin, ikhtiar terbabit dilakukan demi memastikan isteri tercinta, Zudairulwati Jaafar, 43, yang menghidap penyakit ovarian cysts dapat dibedah segera.

"Isteri saya disahkan menghidap penyakit itu bulan September tahun lalu selepas selalu mengadu sesak nafas dan sakit.

"Sepatutnya dia perlu dirujuk ke hospital untuk menjalani pembedahan tapi disebabkan kami ada masalah kewangan, saya terpaksa tangguhkannya dan isteri hanya bergantung dengan ubat tahan sakit," katanya kepada media pada Khamis.

Lebih merunsingkan Nasarudin selepas tiga bulan isterinya disahkan sakit, dia pula kehilangan pekerjaan sehingga memaksa mereka tinggal menyewa di sebuah kedai yang dikenakan sewa lebih rendah.

Bagi menampung hidup katanya, dia berniaga burger namun pendapatannya tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan pelanggan.

"Jika dulu saya kerja sebagai buruh kontrak di Pasar Besar Seremban dapatlah bayaran RM50 sehari. Tapi sekarang tak menentu menyebabkan hidup saya bertambah sukar.

"Tapi bila tengok keadaan isteri yang tak tahan lagi menanggung sakit, saya tergerak hati mencuba nasib menghantar email memohon bantuan kepada Pejabat Perdana Menteri.

"Tak sangka email saya dapat perhatian. Terima kasih kepada Pejabat Perdana Menteri dan pihak yang membantu, saya sangat terharu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nasan berkata, bantuan itu diharap dapat membiayai kos rawatan isteri Nasarudin sekali gus meringankan bebannya.