PLBEGJB sudah 37 peratus siap

Anthony (dua dari kanan) berucap pada sidang media berkenaan.
Anthony (dua dari kanan) berucap pada sidang media berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas - Johor Bahru (PLBEGJB) yang dijangka memulakan operasinya awal 2022 dilaporkan sudah 37 peratus siap.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembinaan projek yang akan melengkapkan jajaran keretapi eletrik dari utara itu juga berjalan mengikut jadual ditetapkan.

“Pembinaan projek berjalan mengikut jadual. Jadi hari ini kita mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti beberapa isu berbangkit antaranya mengenai halangan di sepanjang laluan landasan tersebut.

“Halangan ini adalah melibatkan bangunan, rumah-rumah penduduk, dan rumah ibadat. Fokus utama kerajaan adalah mahu memastikan perkara ini diselesaikan dengan budi bicara dan persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat PLBEGJB bersama wakil rakyat Johor di Bangunan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini, hari ini.

Anthony berkata, sehingga kini, pihaknya telah mengenal pasti terdapat sebanyak 324 halangan di negeri Johor yang berada di sepanjang jajaran landasan berkenaan.

Beliau berkata, halangan yang dikenal pasti itu adalah merangkumi beberapa kawasan antaranya Paloh, Bekok, Renggam dan Johor Bahru.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 191 halangan telah diselesaikan yang mana kita menggunakan pendekatan terbaik dengan mengadakan perbincangan serta pembayaran sagu hati.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini kita akan perincikan lagi, kerana ada daripada jalan penyelesaian yang dimahukan kita perlu kerjasama kerajaan negeri.

"Ia melibatkan penempatan semula binaan atau rumah ibadat,” katanya.

Untuk rekod, pembinaan PLBEGJB dianggarkan menelan belanja sebanyak RM8.9 billion membabitkan keseluruhan kos bagi fasiliti, infrastruktur dan penaiktarafan stesen.