Perak warta lebih 900 hektar Hutan Simpan Kekal baharu

Saarani (dua dari kanan) menghadiri Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.- Foto SUK Perak
Saarani (dua dari kanan) menghadiri Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.- Foto SUK Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak telah membuat pewartaan baharu kawasan seluas 915.25 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini pada tahun 2022.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut dilakukan bagi mengekalkan kawasan berhutan negeri Perak sekurang-kurangnya 50 peratus seiring dengan pembangunan negeri.

Jelasnya, usaha pewartaan tanah kerajaan yang telah dikenal pasti dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai HSK seluas lebih kurang 5,507 hektar akan diteruskan Jabatan Perhutanan negeri bersama Pejabat Tanah dan Galian negeri.

"HSK di Perak telah diberi pengiktirafan Malaysia Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management Certification selain Sustainable Forest Management di bawah Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS).

"Pensijilan Pengurusan Hutan yang diiktiraf antarabangsa ini menunjukkan bahawa sumber hutan di negeri ini telah diuruskan dengan cekap, terbaik atau Best Forest Practices yang menumpukan penekanan seimbang terhadap penstabilan alam sekitar, ekologi, biodiversiti, sosial dan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Menurut Saarani, walaupun pihaknya berdepan kritikan berkaitan kegiatan penerokaan alam bagi tujuan ekonomi, namun Perak konsisten dengan pendirian untuk memastikan sebarang program pembangunan ekonomi yang dilaksanakan perlu lebih bertanggungjawab memulihara sumber asli dan khazanah negeri.

Jelasnya, beberapa langkah pemuliharaan alam sekitar yang sedang dilaksanakan akan terus diperkukuhkan antaranya memperhebatkan inisiatif konservasi termasuk penanaman pokok bakau sebagai pertahanan semula jadi selain penanaman semula hutan yang perlu dilakukan secara sistematik.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menyebarluaskan inisiatif teknologi hijau, memantapkan inisiatif waste to energy (WTE) serta meningkatkan langkah penguatkuasaan berkaitan perlindungan alam sekitar.