Angkasawan UAE tak wajib berpuasa ketika di angkasa

Sultan al-Neyadi menjadi rakyat kedua dari UAE menjelajah angkasa lepas. - Foto Agensi
Sultan al-Neyadi menjadi rakyat kedua dari UAE menjelajah angkasa lepas. - Foto Agensi
A
A
A

HOUSTON - Angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan al-Neyadi berkata dia tidak diwajibkan berpuasa ketika bulan Ramadan bagi misi ke angkasa akan datang.

Sultan bakal menjadi Angkasawan pertama Arab menghabiskan masa selama enam bulan di angkasa apabila dijangka berlepas ke Stesen Antarabangsa Angkasa (ISS) bulan depan dengan menaiki kapal angkasa SpaceX Falcon 9.

Angkasawan berusia 41 tahun itu bakal disertai beberapa angkasawan daripada pelbagai negara dijangka diterbangkan ke ISS pada 26 Februari depan.

Pada sidang media semalam, ditanya ibadah puasa yang bakal dijalaninya ketika di ISS, Sultan menjawab situasi tersebut tidak mewajibkannya untuk melakukan ibadah puasa.

"Sebagai musafir, kami dibenarkan untuk berbuka puasa. situasi tersebut tidak mewajibkan kami berpuasa.

"Sekiranya terjadi sesuatu yang membantutkan misi atau meletakkan anak kapal dalam keadaan bahaya, kami dibenarkan untuk makan secukupnya," katanya.

Sultan akan menjadi rakyat kedua dari UAE menjelajah angkasa selepas Hazzaa al-Mansoori melakukannya pada September 2019. - AFP