Penggodam Belanda curi data dalam talian ditahan

Penyiasat Belanda menahan seorang lelaki yang didakwa mencuri dan menjual data peribadi berjuta-juta orang di seluruh dunia. - Gambar hiasan
Penyiasat Belanda menahan seorang lelaki yang didakwa mencuri dan menjual data peribadi berjuta-juta orang di seluruh dunia. - Gambar hiasan
A
A
A

AMSTERDAM - Penyiasat Belanda menahan seorang lelaki yang didakwa mencuri dan menjual data peribadi berjuta-juta orang di seluruh dunia termasuk hampir setiap orang yang tinggal di Austria.

Lelaki Belanda berusia 25 tahun itu ditahan pada November hasil maklumat yang diterima daripada Pejabat Polis Jenayah Persekutuan Austria.

Kes itu hanya didedahkan kepada umum oleh pejabat pendakwa raya di Amsterdam pada Rabu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut maklumat itu, terdapat petunjuk kukuh bahawa suspek telah menawarkan data sulit yang dicuri termasuk data rekod perubatan pesakit.

Data itu dikatakan membabitkan penduduk dari Belanda, Austria, Thailand, Colombia, China dan Britain.

Polis Austria dilaporkan telah menyiasat secara intensif selama lebih dua tahun selepas rekod curi berjuta-juta orang dari Austria ditawarkan untuk dijual di forum haram pada Mei 2020.

Mereka akhirnya menjumpai alamat rumah lelaki itu di Amsterdam.

Menurut laporan itu, semasa menggelidah rumah di Amsterdam dan Almere, di utara ibu negara, sejumlah besar peralatan dan perisian yang boleh digunakan untuk menggodam fail komputer turut dirampas.

Platform jenayah berkenaan ditutup sejak itu.

Menurut maklumat pihak berkuasa Austria, sembilan juta rekod data pendaftaran yang ditemukan membabitkan Austria sahaja.

Negara ini mempunyai kira-kira sembilan juta rakyat dengan rekod yang digodam itu meliputi nama penuh, jantina, alamat lengkap dan tarikh lahir, berkemungkinan membabitkan rekod semua penduduk negara berkenaan. - Bernama