Kerajaan rangka strategi baharu atasi kos sara hidup - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menerusi kerjasama beberapa kementerian sedang merangka strategi baharu dalam mengatasi isu kos sara hidup.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia membabitkan pelan strategi jangka pendek dan panjang yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Antaranya adalah rantaian makanan dan menambah sumber bekalan di dalam negara," katanya menerusi sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Rafizi berkata, kementerian dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sara Hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan juga sedang meneliti langkah ke arah jaminan bekalan makanan bagi memenuhi permintaan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga.

"Dalam tempoh dua bulan lalu, kita lihat peningkatan permintaan terhadap makanan contohnya cili Vietnam," katanya.

Beliau berkata, penanaman cili secara komersial boleh dilaksanakan tanpa sebarang masalah dan dari segi pelaksanaan, perlu dipastikan bahawa bukan sahaja dibuat penanaman cili tetapi perlu menyediakan pasaran buat petani.

Rafizi berkata, terdapat beberapa projek rintis dilakukan kerajaan dan bakal diperluaskan ke seluruh negara dalam strategi tersebut, namun ia menggunakan pendekatan berbeza daripada kelazimannya.

"Selalunya kalau diberikan insentif, ia cukup untuk tanam sahaja, selepas itu pandai-pandailah dia.

"Saya tidak yakin perkara itu akan membantu kelangsungan mereka yang terlibat," katanya.

Ujar beliau, dalam usaha mewujudkan rantaian bekalan makanan yang stabil, kerajaan akan turut melibatkan golongan miskin tegar agar mereka mempunyai pendapatan tambahan dalam aktiviti berkaitan rantaian makanan.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan sedia bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pengendali koridor ekonomi, Rafizi berkata bahawa pengendali seperti Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sudah mendapat arahan.

Beliau berkata, agensi pelaksana kini sedang dalam proses untuk mengembangkan lagi projek melibatkan nilai rantaian makanan dan sedang mengenal pasti tanaman baharu untuk dipadankan dengan tanah, penerima, pengusaha dan pembeli.

Tambah beliau lagi, beberapa cadangan berkaitan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor-sektor makanan terutama yang bersifat huluan dijangka akan kemukakan oleh GLC kepadanya.

"Kita sudah duduk berbincang dan sedang menunggu mereka kembali dengan beberapa cadangan," katanya.