Anak Melayu yang sudah tidak berapa Melayu

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

BARU-baru ini, Sinar Harian telah menyiarkan tulisan Mana Sikana dengan tajuk ‘Perkasa Kesusasteraan Melayu di Sekolah’.

Mana Sikana merupakan nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau merupakan pengkritik, pengkaji dan penteorian sastera terkenal negara.

Tulisannya cukup hebat dan pengaruhnya dalam dunia sastera sangat besar.

Namun, jika ditanya pada anak-anak muda hari ini, mungkin ada segelintir yang mengenali dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak tahu.

Mereka lebih mengenali Mark Zuckerberg, Elon Musk dan ramai lagi bintang sensasi internet dunia.

Hakikat pedih inilah antaranya yang membuatkan dunia sastera semakin terpinggir.

Tidak perlu bercerita mengenai ilmu sastera yang indah, penggunaan bahasa Melayu paling ringkas pun anak-anak kita ada yang sudah tidak mampu untuk memahaminya.

Anak-anak sekarang sudah semakin kurang minat untuk membaca apatah lagi untuk menggunakan bahasa sastera yang indah, puitis dan berbunga-bunga. Golongan muda sekarang lebih gemarkan sesuatu yang mudah, sederhana dan terus pada fakta.

Itu belum lagi termasuk anak-anak kita sendiri yang merosakkan bahasa seperti bahasa ‘budak WeChat’ yang sukar difahami dan bahasa Inggeris bercampur aduk dengan bahasa Melayu.

Bukan sembarangan cakap tetapi ini diakui sendiri oleh seorang guru bahasa Melayu di sekolah.

Beliau menghadapi masalah ketika hendak memberi markah terhadap karangan pelajarnya.

Tidak nampak lagi keindahan bahasa kerana golongan masa ini tidak lagi pandai untuk mempelbagaikan gaya bahasa.

'Saya dan ibu pergi ke pasar', tiada lagi 'Pada Subuh yang hening itu, usai solat, aku menemani ibu ke pasar.' Itu juga belum lagi ringkasan - yg untuk yang, dlm - dalam, spt - seperti.

Malah ada juga yang lebih selesa menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris seperti shopping untuk membeli-belah, holiday - bercuti, watching - menonton, study – belajar, exam - peperiksaan dan banyak lagi. Mereka tidak tahu atau sudah lupa dengan bahasa Melayu yang kaya dengan kosa kata.

Justeru, Suara Sinar menyokong sepenuhnya Mana Sikana agar mata pelajaran Sastera diperkasakan semula di sekolah kerana ia mampu membentuk keperibadian pelajar serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Akhir kalam, jadilah Melayu yang betul-betul Melayu dan bukannya Melayu pada sijil kelahiran.