Empat generasi Tok Mak berhimpun

Lebih 100 ahli keluarga daripada empat generasi berhimpun meraikan ulang tahun Tok Mak yang berusia genap 100 tahun di Bagan Serai, Ahad lalu. - ihsan pembaca
Lebih 100 ahli keluarga daripada empat generasi berhimpun meraikan ulang tahun Tok Mak yang berusia genap 100 tahun di Bagan Serai, Ahad lalu. - ihsan pembaca
A
A
A

BAGAN SERAI - Lebih 100 ahli keluarga daripada empat generasi berkumpul bagi meraikan wanita warga emas, Aambariyah Mokhtar atau dikenali sebagai Tok Mak yang genap berusia 100 tahun.

Enam anak bersama 29 cucu, 58 cicit dan dua piutnya mengambil peluang cuti perayaan Tahun Baharu Cina bagi meraikan ulang tahun kelahiran Tok Mak di rumahnya di Kampung Kedai Dua di sini pada Sabtu.

Menurut anaknya, Abdul Khadir Jalani Mohamad, 67, sambutan ulang tahun itu diadakan untuk mengukuhkan tali silaturahim dalam kalangan ahli keluarga.

Dia menyifatkan ibunya itu sebagai insan yang istimewa kerana usianya mencapai seabad.

"Ulang tahun kali ini cukup bermakna untuk ibu apabila dapat berkumpul dengan ahli keluarga serta mengadakan pelbagai aktiviti seperti solat berjemaah, pertandingan bacaan surah dan kenduri.

"Walaupun pendengaran kurang baik kerana usianya tetapi ibu dapat mengenali cucu, cicit dan piutnya yang hadir," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Abdul Khadir berkata, Tok Mak sentiasa mengingatkan ahli keluarganya untuk menjaga solat dan berzikir sebagai satu amalan harian.

"Kalau jumpa empat generasi ini, soalan yang sering ditanya 'sudah sembahyang?'. Kalau berleter pun, kami faham kerana itu panduan untuk kami.

"Kami juga bersyukur apabila ibu tidak menghidap penyakit kronik malah dia masih kuat untuk menguruskan diri sendiri meskipun bertongkat," katanya.

Abdul Khadir yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Selingsing itu turut berkongsi pemakanan ibunya yang lebih makan sayur-sayuran untuk kekal sihat.

"Selain itu, ibu tidak menolak kaedah moden dengan mengambil beberapa makanan tambahan untuk nutrisi dirinya.

"Kami turut terharu dengan usaha ibu untuk menjaga keharmonian keluarga dengan siap mengagihkan harta kepada kami enam beradik.

"Baginya, dia sudah menyelesaikan urusan dunia dan terus fokus meningkatkan ibadat. Itu sudah cukup terharu buat kami semua," katanya.